AM

Belanjawan 2025: Kementerian Komunikasi Manfaat Peruntukan Tingkat Taraf Hidup, Kesejahteraan Rakyat

20/10/2024 12:52 PM

PUTRAJAYA, 20 Okt (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan memanfaatkan peruntukan sebanyak RM2.55 bilion dengan memberi keutamaan kepada pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif, demi meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat.

Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan peruntukan menerusi Belanjawan 2025 itu, akan diterjemahkan bagi memperkasakan jaringan dan infrastruktur telekomunikasi serta komunikasi sosial, memperkukuh masyarakat dengan maklumat yang tepat dan sahih menerusi kandungan kreatif, penerangan dan penyiaran yang berintegriti.

“Belanjawan 2025 ini merupakan kesinambungan kepada ikhtiar kerajaan MADANI untuk memperkasakan ekonomi dan mengangkat martabat rakyat,” menurut kenyataan itu.

Daripada RM2.55 bilion itu, kementerian itu memaklumkan terdapat tujuh inisiatif dengan pecahan peruntukan telah disediakan, termasuk memastikan sistem penyampaian awam lebih terangkum menerusi penambahbaikan perkhidmatan Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia (MyGCC), bagi memenuhi keperluan pemanggil dari golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut kenyataan itu antara inisiatif berkenaan ialah RM100 juta peruntukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), untuk memperkasakan fungsi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara, bagi meningkatkan pendapatan rakyat melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.

Menerusi MCMC juga, kementerian itu memaklumkan kerajaan telah memperuntukkan RM100 juta bagi Program Ketersambungan Infrastruktur Jalur Lebar Talian Tetap ke sekolah luar bandar dan RM120 juta kepada universiti awam, sekolah, kem tentera serta institusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk capaian Internet yang lebih meluas.

Turut diumumkan RM25 juta peruntukan kepada MyCreative Ventures (MyCV) melalui suntikan ekuiti kepada syarikat berpotensi tinggi dan pembiayaan untuk usahawan sosial kreatif.

Menurut kenyataan itu kerajaan terus menyokong penerbitan filem antarabangsa di Malaysia dengan peruntukan hampir RM40 juta di bawah Insentif Penerbitan Filem Malaysia (FIMI), manakala bagi menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang seni, sebanyak RM30 juta diperuntukkan bagi Program Belia Kreatif MADANI yang akan memanfaatkan 16,000 belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat membentangkan Belanjawan 2025 dengan peruntukan RM421 bilion, meliputi RM335 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion untuk pembangunan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan