JENAYAH & MAHKAMAH

Diesel Diseludup Dari Malaysia Dijual Berleluasa Di Sungai Golok

20/10/2024 06:36 PM

NARATHIWAT, 20 Okt (Bernama) -- Perbezaan harga runcit petrol dan diesel yang ketara antara Malaysia dengan negara Thailand, menyebabkan bahan api itu terus menjadi sasaran penyeludup untuk dibawa keluar dan dijual secara terbuka tepi-tepi jalan di sepanjang Selatan Thailand.

Biarpun kegiatan menjual petrol dan diesel bersubsidi dari Malaysia itu telah menjadi ‘barah’ sejak lebih 10 tahun lepas, namun ia masih berleluasa ekoran permintaan yang tinggi daripada rakyat di negara itu, sekali gus memberikan pendapatan lumayan kepada peniaga kecil negara jiran termasuk golongan wanita.

Tinjauan Bernama baru-baru ini mendapati, terdapat puluhan gerai di tepi jalan di Sungai Golok menjual minyak dan diesel subsidi yang dikhaskan untuk rakyat Malaysia di dalam botol dan tong plastik, dengan harga sekitar 28 baht (RM3.64) untuk botol satu liter hingga 250 baht (RM32.50) untuk tong sembilan liter.

Timbalan Datuk Bandar Sungai Golok Aphichet Jeh-Ouma ketika ditemui Bernama baru-baru ini berkata di sepanjang tepi jalan sekitar pekan Sungai Golok sehingga ke pekan Yala sahaja, terdapat lebih 100 peniaga kecil negara itu menjual petrol dan diesel seludup itu.

“Pihak berkuasa tempatan Thailand telah kerap menegur penjual petrol dan diesel secara haram ini, tetapi mereka masih berdegil dengan alasan mahu meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Aphichet berkata walaupun bahan api itu dijual dengan harga yang jauh lebih mahal, namun masyarakat di Sungai Golok tetap membelinya kerana masih murah berbanding harga  bahan api yang dijual di negara itu.

Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan rakyat Malaysia turut membeli petrol dan diesel seludup itu, kerana kebiasannya mereka yang datang dengan menaiki kenderaan sendiri telah mengisi penuh kenderaan mereka dengan petrol atau diesel, sebelum masuk ke negara itu.

“Kalau ada pun mungkin kes terpencil sahaja seperti kehabisan minyak akibat terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, sehingga terpaksa membeli bahan api berkenaan di tepi jalan," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga yang ditemui Mat Yi, 40, berkata setiap hari dia menjual sehingga 100 liter petrol atau lebih dikenali sebagai ‘benzine’ di Thailand yang dihantar oleh pembekal dari Rantau Panjang, Pasir Mas.

“Saya sendiri tidak pasti bagaimana cara pembekal memperolehi bahan api itu dan saya yakin kesemua bahan api berkenaan diseludup dari Malaysia.

“Kami tahu menjual minyak petrol dan diesel yang diseludup dari Malaysia adalah salah, tetapi ramai berbuat demikian,” katanya.

Saleeha Abdullah, 56, berkata harga petrol RON 95 di Thailand yang kini mencecah lebih RM5.36 seliter, menyebabkan petrol yang di seludup dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di Thailand.

Beliau berkata minyak yang dijual di dalam botol di tepi jalan itu, kebanyakan adalah untuk pengguna motosikal dan dijual dengan harga 28 baht hingga 30 baht (RM3.90) seliter.

“Kesemua minyak botol yang diletakkan di tepi jalan itu juga daripada jenama berlainan dan harganya juga berbeza serta sentiasa berubah mengikut tahap kesukaran mendapatkan bekalan.

“Jika daripada jenama yang agak terkenal harganya agak tinggi, tetapi kesemuanya diperoleh dari Malaysia. Sepanjang jalan ke bandar Narathiwat memang ramai yang berniaga seperti ini dan seolah-olah berniaga air minuman,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan