AM

Belanjawan 2025 Mesra Warga Emas Bagi Menghadapi Negara Menua - Noraini

20/10/2024 06:42 PM

MUAR, 20 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Jumaat lepas dilihat lebih mesra warga emas, sebagai persiapan ke arah menghadapi negara menua pada 2030, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata peruntukan RM3.64 bilion untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam belanjawan berkenaan, membolehkan banyak program kepada warga emas dilaksanakan termasuk berkaitan aktiviti sosioekonomi dan penambahbaikan pusat aktiviti warga emas (PAWE).

“Belanjawan 2025 juga mesra kepada Orang Kurang Upaya (OKU), dengan pertambahan peruntukan yang diharap membantu golongan itu meneruskan kehidupan selain peruntukan kepada Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS),” katanya selepas merasmikan Program Toleransi Sifar Keganasan@Advokasi Antigangguan Keganasan Seksual Zon Selatan di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi, Pagoh di sini hari ini.

Berkaitan program hari ini, Noraini berkata inisiatif berkenaan, usaha KPWKM dalam menangani gangguan seksual di institusi pengajian tinggi (IPT), dengan golongan pelajar bakal digerakkan sebagai ejen dalam komuniti bagi membenteras jenayaah itu.

“Antara pengisian program kali ini ialah slot Advokasi Antigangguan Seksual oleh Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Kenali Tribunal Antigangguan Seksual oleh Tribunal Bagi Antigangguan Seksual (TAGS) dan ceramah Jauhi Buli Siber oleh Cybersecurity Malaysia.

“Turut berlangsung Bual Bicara Bersama YB Timbalan Menteri KPWKM dan acara menandatangani mural yang merupakan simbolik kepada komitmen dan sokongan semua pihak dalam menangani gangguan seksual,” katanya.

Noraini berkata program ini juga memberikan pendedahan pengoperasian TAGS dan menyebarluaskan pemakaian garis panduan serta notis antigangguan seksual kepada semua lapisan masyarakat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan