KUALA LUMPUR, 20 Okt (Bernama) -- Polis sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang melanggar lari seorang penunggang motosikal di Kilometer 3.0 Sistem Lingkaran–Lebuhraya Kajang (SILK) arah Balakong, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang Naazron Abdul Yusof berkata dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, pemandu kereta berkenaan memandu di lorong paling kanan di belakang motosikal sebelum memotong, menghimpit dan melanggar motosikal yang ada di hadapannya menyebabkan motosikal itu terbabas di atas jalan raya.
“Akibat daripada kemalangan ini, seorang lelaki berusia 45 tahun cedera parah di kepala dan telah dibawa ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.
“Kes telah disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron menyeru dan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasat Insp Ammar Mohd Tahir melalui talian 018-2586153 untuk membantu siasatan.
Sebelum ini, di laman media sosial X, tular sebuah video berdurasi 42 saat dipercayai rakaman kamera papan pemuka milik kenderaan lain memaparkan kejadian terbabit.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial