SUKAN

BAM Sedia Bantu Qi Xuan Dengan Rawatan Pemulihan

21/10/2024 09:17 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bersedia menawarkan pemain beregu wanita profesional negara Ng Qi Xuan, untuk menjalani rawatan pemulihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) susulan kecederaan lutut yang dialaminya pada kejohanan badminton Malaysia Super 100 yang baru berakhir.

Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh berkata walaupun pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain profesional, beliau tetap seorang pemain Malaysia dan pernah bernaung di bawah badan induk tersebut.

“Ya, kami telah mengadakan perbincangan dalaman tentang cara kami dapat membantunya. Kami sedia membantu jika dia ingin menjalani rawatan pemulihan, tetapi mungkin dia boleh melakukannya di ABM.

“Saya juga telah berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (dan beliau) juga telah menawarkan bantuan seberapa yang boleh,” katanya kepada pemberita selepas Kejohanan Badminton Malaysia Super 100 di Stadium Juara, Bukit Kiara, semalam.

Ketika ditanya sama ada Qi Xuan perlu menjalani pembedahan, Kenny berkata beliau belum menerima sebarang pengesahan mengenai perkara tersebut tetapi memaklumkan bahawa Qi Xuan masih dirawat di hospital dan BAM merancang untuk menziarahinya dalam masa terdekat.

Qi Xuan dilaporkan mengalami kecederaan lutut semasa cuba membalas serangan pihak lawan dengan 'smash’ yang menyebabkan dia dan pasangannya Yap Rui Chen, terpaksa menarik diri ketika mereka hanya satu mata sahaja untuk meraih kemenangan.

Qi Xuan-Rui Chen sedang mendahului 22-20, 20-18 terhadap Teoh Mei Xing-Go Pei Kee dari BAM dalam kejohanan peringkat separuh akhir, Sabtu lepas.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan