AM

Kerajaan Teroka Potensi Jelapang Padi Di Sabah, Sarawak

21/10/2024 01:22 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang meneroka kawasan-kawasan berpotensi di Sabah dan Sarawak untuk dibangunkan sebagai jelapang padi negara, sekali gus meningkatkan pengeluaran beras negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bahawa langkah ini penting kerana permintaan beras semakin meningkat dan pengeluaran di jelapang padi di Semenanjung tidak mencukupi.

"Permintaan terhadap makanan ruji negara seperti beras adalah tinggi, dan apabila berlakunya ketidakcukupan, ia menjadi isu serius kerana majoriti penduduk Malaysia, termasuk pekerja asing yang berjumlah antara dua hingga tiga juta orang, juga bergantung kepada nasi sebagai makanan utama," katanya.

Mohamad Sabu berkata usaha untuk mencukupkan bekalan beras negara perlu dipertingkatkan kerana makanan alternatif seperti jagung tidak dapat memenuhi keperluan rakyat. Justeru, penjelajahan kawasan berpotensi di Sarawak dan Sabah menjadi keutamaan, terutama dalam Rancangan Malaysia yang akan datang, bagi memastikan bekalan beras mencukupi.

"Walaupun rakyat sudah makan roti canai dua biji atau mi goreng sepinggan, mereka tetap mahukan nasi. Sebab itulah kita perlu memberi tumpuan kepada usaha ini," katanya dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Fathul Huzir Ayob (PN-Gerik), Mohamad Sabu menjelaskan bahawa kementerian sedang mempertimbangkan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan kepada beras sebagai sumber utama karbohidrat negara. Antara perancangan yang dipertimbangkan ialah memperkenalkan tanaman alternatif seperti ubi yang boleh dijadikan sumber utama karbohidrat.

Beliau menegaskan bahawa usaha ini adalah penting untuk mempelbagaikan sumber makanan dan mengurangkan risiko ketidakcukupan bekalan beras di masa hadapan.

Mohamad menjelaskan bahawa Sarawak telah menawarkan untuk membangunkan jelapang padi negara dengan peruntukan RM500 juta daripada kerajaan negeri. Selain itu, Sarawak berharap mendapatkan tambahan RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan tanaman padi seluas 5,000 hektar di negeri tersebut.

Menjawab soalan asal Fathul Huzir mengenai jaminan bekalan makanan negara, beliau memberi jaminan bahawa bekalan beras masih mencukupi dalam pasaran untuk memenuhi keperluan rakyat.

Menurut beliau, sehingga Oktober, jumlah keseluruhan stok beras termasuk stok simpanan (stockpile) adalah sebanyak 1.1 juta tan metrik yang dijangka mencukupi untuk lima hingga enam bulan. 

“Bagi bekalan beras, negara sumber yang dikenal pasti ialah Thailand, Vietnam, India, Pakistan dan Myanmar.

"Setakat ini, jika berlaku kecemasan, kita jamin Insya-Allah makanan ada kerana hubungan kita dengan negara pembekal sentiasa baik, dan mereka sentiasa memenuhi kehendak kita apabila diperlukan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan