AM

Pendaratan Penyu Karah Di Taman Laut Labuan Meningkat

21/10/2024 01:47 PM

LABUAN, 21 Okt (Bernama) -- Kadar pendaratan penyu karah di sekitar pantai di Taman Laut Labuan menunjukkan peningkatan dengan sekurang-kurangnya 19 penyu itu direkodkan mendarat sejak Januari lepas hingga bulan ini.

 Pengarah Perikanan Labuan Sufian Ahmad berkata penyu terbabit mengeluarkan 2,562 telur dengan kawasan sarang popular ialah Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman.

"Daripada 2,562 telur itu, sebanyak 1,423 telah menetas dan anak penyu terbabit telah dilepaskan ke laut.

"Walaupun terdapat pelbagai aktiviti laut di sekitar kawasan pulau di Taman Laut Labuan, kami masih memantau aktiviti pendaratan penyu sepanjang tahun,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pantai di kawasan berkenaan menjadi habitat bagi penyu hijau atau agar dan penyu karah, namun pada tahun ini hanya penyu karah ditemukan mendarat.

Sufian berkata pada tahun lepas sebanyak 18 penyu karah direkodkan mendarat dan menghasilkan 2,137 telur dengan 1,883 anak penyu telah dilepaskan ke laut.

“Pendaratan penyu ini sekali gus menunjukkan betapa pentingnya pantai di Labuan sebagai habitat utama bagi spesies terancam,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan