EKONOMI

Strategi Pelbagai Hala Kerajaan Seimbangkan Disiplin Fiskal, Pertumbuhan Ekonomi - MIER

21/10/2024 04:16 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Strategi pelbagai hala oleh kerajaan memperlihatkan tumpuan kepada konsolidasi fiskal di samping menyokong pertumbuhan ekonomi dan mengekalkan jaringan keselamatan sosial, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).

Pengarah Eksekutif MIER Dr Anthony Dass memuji komitmen kerajaan untuk mengimbangkan pembangunan ekonomi dengan kemampanan fiskal.

“Komited terhadap fiskal berhemat, pertumbuhan ekonomi yang mampan dan pelaksanaan kerangka MADANI yang berkesan, sasaran defisit fiskal 3.8 peratus pada 2025 berkurangan daripada 4.3 peratus pada 2024, adalah realistik,” katanya dalam kenyataan.

Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas dibentuk berdasarkan kerangka Ekonomi MADANI.

Dass berkata belanjawan yang memperuntukkan sejumlah RM421 bilion memberikan tumpuan untuk menggiatkan semula ekonomi, memangkin perubahan transformatif dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan rakyat.

“Ini adalah belanjawan terbesar setakat ini, dengan RM335 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM86 bilion bagi perbelanjaan pembangunan,” katanya.

Dass berkata strategi menjana perolehan bagi 2025 menyasarkan untuk mengumpul RM322 bilion dan adalah komprehensif, bertujuan mengimbangi kemampanan fiskal dengan pertumbuhan ekonomi manakala unjuran sumbangan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak RM35.4 bilion pada 2024 dijangka meningkat pada 2025.

“Komponen utama termasuk cukai mewah progresif baharu sebanyak lima peratus hingga 10 peratus ke atas barangan bernilai tinggi yang disasarkan kepada pengguna berpendapatan tinggi; dan cukai minimum global ke atas syarikat multinasional besar yang beroperasi di Malaysia.

“Selain itu adalah asas cukai lebih luas yang merangkumi cukai karbon dan cukai ke atas makanan tidak sihat; penjimatan daripada rasionalisasi subsidi; dan pematuhan cukai yang lebih baik, pendigitalan sistem cukai, dan pengurangan pembaziran,” katanya.

Bagaimanapun, rasionalisasi subsidi seperti potensi pengurangan subsidi bahan api boleh mencetuskan kebimbangan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah kerana ia berupaya menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

Beliau berkata kerajaan dijangka mengambil langkah berhati-hati terhadap sebarang perubahan, mengimbangkan pengurangan subsidi dengan program bantuan yang disasarkan.

“Terdapat kebimbangan yang berterusan terhadap potensi kenaikan kos sara hidup berikutan rasionalisasi subsidi, memerlukan penilaian yang menyeluruh dan langkah segera bagi menangani inflasi dan perbelanjaan harian yang meningkat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata industri automotif akan dipantau dengan teliti susulan pelancaran insentif penggunaan kenderaan elektrik (EV), yang memfokuskan kepada penambahbaikan infrastruktur pengecasan.

Beliau berkata wujud kebimbangan berhubung potensi cabaran dalam memperluas pengecualian cukai untuk EV serta bagaimana cukai barangan mewah boleh menjejaskan perbelanjaan pengguna dan aktiviti perniagaan. 

Dass menyatakan keyakinan terhadap pelaburan langsung asing (FDI) dan pelabur portfolio, dengan menekankan bahawa belanjawan menyediakan rangka kerja yang menggalakkan pertumbuhan, terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi, hijau dan infrastruktur. 

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa ketidaktentuan global dan persaingan serantau adalah faktor yang perlu diberi perhatian.

Dass menekankan bahawa Belanjawan 2025 memberi tumpuan untuk menarik FDI dalam sektor pertumbuhan tinggi seperti teknologi, tenaga boleh baharu dan semikonduktor, sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia dan memfokuskan kepada transformasi digital.

“MIER melihat insentif cukai dan geran untuk pelaburan hijau seperti projek tenaga boleh baharu, sebagai langkah positif untuk pelabur global yang ingin menyelaraskan dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

"Usaha kerajaan dalam mengekalkan disiplin fiskal dengan mengurangkan defisit fiskal dan menyokong pelaburan berkualiti tinggi menandakan kestabilan politik dan ekonomi, yang penting untuk menarik FDI jangka panjang.

“Kestabilan pelaburan asing adalah penting untuk meningkatkan persaingan daripada pemain serantau seperti Vietnam dan Indonesia,” katanya.

Belanjawan 2025 memastikan kestabilan makroekonomi dan komitmen terhadap kehematan fiskal untuk pelabur portfolio, dengan pengurangan beransur-ansur defisit fiskal kepada sasaran yang boleh dicapai sebanyak 3.8 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2025 dan jangka panjang kepada 3.5 peratus daripada KDNK.

“Ini adalah petanda positif, menyediakan persekitaran makroekonomi yang stabil. Bagaimanapun, kerajaan perlu mengambil kira potensi risiko, seperti inflasi dan halangan ekonomi global, yang boleh menjejaskan unjuran pertumbuhan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan