EKONOMI

Langkah Positif Malaysia Kurangkan Defisit Belanjawan Kepada 3.5 Peratus - BMI

21/10/2024 05:31 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas, dilihat sebagai langkah positif ke arah sasaran jangka pertengahan Malaysia mengurangkan defisit belanjawan kepada 3.5 peratus menjelang 2027.

Dalam kenyataan ‘Quick View’ atau tinjauan terhadap Belanjawan 2025 hari ini, BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions berkata kerajaan menjangkakan defisit fiskal berkurangan kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 berbanding anggaran 4.3 peratus pada 2024.

Ini didorong oleh peningkatan hasil sebanyak 5.5 peratus tahun ke tahun (y-o-y) walaupun peningkatan 3.3 peratus dalam perbelanjaan keseluruhan.

“Kalangan penggubal dasar menjangkakan pertumbuhan KDNK sebenar pada 4.5-5.5 peratus pada 2025, berbanding semakan menaik 4.8-5.3 peratus pada 2024 (daripada 4.0-5.0 peratus sebelum ini).

“Berdasarkan rekod prestasi pentadbiran semasa yang berpegang kepada unjurannya, kami kekal dengan unjuran defisit belanjawan Malaysia yang menjadi sebahagian KDNK untuk susut daripada anggaran 4.3 peratus KDNK dalam 2024 kepada 3.9 peratus pada 2025 – sebahagian besarnya seiring dengan unjuran fisikal kerajaan,” katanya.

Selain itu, BMI juga menyifatkan pengumuman paling signifikan dalam Belanjawan 2025 adalah perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) untuk turut merangkumi transaksi perkhidmatan komersial perniagaan kepada perniagaan (B2B), makanan bukan keperluan serta produk premium import seperti ikan salmon dan buah avocado.

“Kerajaan berhasrat menyalurkan pendapatan tambahan yang dijana itu bagi mengimbangi kekurangan hasil berkaitan petroleum.

“Walaupun pendapatan berkaitan petroleum berkemungkinan susut 3.2 peratus daripada KDNK pada  2024 kepada 3.0 peratus dalam 2025 susulan semakan unjuran kerajaan bahawa semua harga minyak diniagakan pada US$75-80 setong pada 2025 (unjuran BMI : US$78 setong), ini menepati hasrat penggubal dasar untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pendapatan berkaitan petroleum,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan juga bakal memperkenalkan cukai dividen pada kadar 2.0 peratus ke atas pendapatan melebihi RM100,000 bermula tahun taksiran 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan