AM

Lindungi Unsur Nadir Bumi, Galian Fokus Baharu Operasi Bersepadu Khazanah

21/10/2024 06:12 PM

JERANTUT, 21 Okt (Bernama) -- Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) kini diperluaskan dengan melindungi unsur nadir bumi (REE) dan galian, kata Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim. 

Beliau berkata segala khazanah negara perlu dipelihara dan dilindungi agar tidak diceroboh serta diterokai oleh pihak tidak bertanggungjawab. 

“Selain aktiviti membanteras jenayah hidupan liar dan alam sekitar, OBK juga memberikan tumpuan terhadap usaha melindungi semua elemen khazanah negara termasuk REE dan galian yang kini menjadi fokus baharu,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat OBK di Taman Negara di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain. 

Abdul Kadir berkata pada Jun lepas, operasi berkenaan berjaya menggagalkan cubaan melombong emas secara haram berhampiran Taman Negara Kelantan dengan nilai rampasan dianggarkan RM700,000.

“Pasukan OBK juga telah menahan tiga lelaki warga Myanmar, seorang lelaki warga Thailand dan dua lelaki tempatan bersama jentera dan peralatan melombong.

“Kita akan sentiasa bertindak berdasarkan maklumat dan risikan serta tindakan akan dilakukan segera untuk melindungi khazanah negara,” katanya. 

Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia kerana berjaya mematahkan cubaan menyeludup 21 kontena mengandungi 340,000 kilogram (kg)  kayu spesies “African rosewood”  dan sebuah kontena membawa lebih 10,000 batang kayu spesies “red sandalwood” di Pelabuhan Klang, baru-baru ini dengan nilai rampasan RM73 juta. 

Setakat September lepas, beliau memaklumkan 240 kertas siasatan telah dibuka dan 221 individu termasuk 51 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan jenayah menerusi OBK dengan keseluruhan rampasan dan sitaan lebih RM122 juta. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan