AM

BRIEF-i Lulus RM33.17 Juta Dalam Tempoh Empat Bulan

22/10/2024 12:25 AM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Pembiayaan berjumlah RM33.17 juta telah diluluskan Bank Rakyat menerusi program pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dalam tempoh empat bulan sejak Jun lepas bagi menyokong perniagaan komuniti usahawan India.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata program pembiayaan yang memperuntukkan dana keseluruhan berjumlah RM50 juta itu telah memberi manfaat kepada 384 usahawan daripada pelbagai sektor termasuk pengangkutan, perkhidmatan, peruncitan, makanan dan minuman serta pelbagai sektor lain, setakat 14 Okt lepas.

"Dalam usaha membangunkan ekosistem keusahawanan yang inklusif dan dinamik, kita perlu memberi perhatian kepada setiap lapisan masyarakat. 

“Saya pasti dengan kelangsungan program pembiayaan seperti BRIEF-i, kerajaan dapat memastikan bahawa lebih ramai usahawan India mampu mengakses dana yang diperlukan bagi mengembangkan perniagaan mereka," katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan Cek Cura Program Pembiayaan BRIEF-i di sini hari ini.

Beliau berkata kemajuan dalam sektor keusahawanan merupakan antara intipati pelaburan terpenting bagi pembangunan ekonomi negara, dan golongan usahawan bukan sahaja penyedia peluang pekerjaan tetapi juga pemacu inovasi kepada pertumbuhan pelbagai bidang dan industri.

Ramanan berkata untuk mencapai pertumbuhan itu, kerjasama erat antara kerajaan dengan institusi kewangan seperti Bank Rakyat adalah amat signifikan bagi membantu para usahawan mencapai matlamat perniagaan mereka.

“Nasihat saya, buat permohonan secepat mungkin. Kita sudah ada beberapa bulan saja, dua bulan nak sampai kepada hujung tahun… ambil peluang ini sepenuh-penuhnya,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu Pengerusi Bank Rakyat Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata pihaknya sentiasa komited dalam memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang sama rata dalam mengakses kemudahan kewangan yang diperlukan selain tampil sebagai antara peneraju dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang inklusif dan progresif seiring dengan konsep Malaysia MADANI.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan