AM

Perkeso Lunas RM7 Juta Faedah Caruman SKSSR

21/10/2024 10:20 PM

KOTA BHARU, 21 Okt (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah melunaskan tuntutan faedah caruman Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) berjumlah RM7 juta sejak diperkenalkan dua tahun lepas.

Ketua Bahagian Senergi Perkeso Rahmat Ismail berkata setakat ini seramai 906 orang pencarum menerima faedah itu melibatkan pelbagai perlindungan termasuk hilang upaya kekal, pencen penakat, perubatan dan elaun keuzuran.

“Kita harap lebih ramai lagi wanita dapat mengambil peluang ini untuk menerima perlindungan yang komprehensif ini dalam melindungi diri kerana risiko untuk mendapat kecederaan semasa melakukan tugas di rumah juga besar. 

"Skim yang menawarkan perlindungan sehingga RM300,000 ini juga dapat meringankan beban yang ditanggung terutama apabila menerima musibah ketika melakukan tugasan suri rumah," katanya kepada pemberita selepas melakukan melawat kediaman pencarum SKSSR Nik Nazura Yusoff, 48, di Kampung Padang Mengkali, Peringat, di sini, hari ini.

Rahmat berkata Nik Nazura yang juga seorang guru telah menerima manfaat daripada caruman tersebut yang dibayar oleh suaminya pada Ogos tahun lepas selepas disahkan mengalami kecederaan lutut kanan akibat terjatuh ketika melakukan kerja rumah.

Berikutan itu, beliau berkata setakat ini terdapat 474,058 pencarum SKSSR di seluruh negara dengan pencarum tajaan kerajaan tertinggi di Sarawak seramai 85,083 pencarum diikuti Sabah 84,571 dan Kelantan 56,416 pencarum.

"Kita sasarkan sejumlah 500,000 pencarum dapat dikumpulkan tahun ini terutama daripada pencarum sukarela yang masih agak kecil jumlahnya ketika ini iaitu seramai 39,409 orang," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan