AM

(Bahagian 1) Impian Musnah: Hasrat Bakal Juruterbang Tinggal Impian Kerana Syarikat Latihan Penerbangan

22/10/2024 11:36 AM

Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali

(Ini adalah bahagian pertama daripada siri tiga bahagian mengenai bagaimana impian bakal juruterbang untuk menggapai langit musnah apabila sebuah syarikat tempatan, yang menguruskan program latihan mereka di Republik Czech, gagal menunaikan tanggungjawabnya. Bahagian I membincangkan kegagalan syarikat itu dan kerugian kewangan besar yang dihadapi keluarga yang terlibat serta MARA, yang menyediakan pembiayaan kepada sebahagian pelatih.)

 

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Menjadi juruterbang melibatkan kos yang tinggi dan penuh dengan pelbagai cabaran kewangan dan peribadi. 

Bayangkan kesedihan yang dirasai apabila bakal juruterbang, yang melaburkan impian dan dana yang besar untuk masa depan mereka, mendapati diri mereka menjadi mangsa sebuah syarikat yang mereka amanahkan untuk menjalani latihan penerbangan di Republik Czech. 

Ini adalah realiti getir yang dihadapi sekumpulan lebih 50 pelatih juruterbang Malaysia di bawah penyeliaan sebuah syarikat tempatan yang menyelaraskan latihan penerbangan untuk bakal juruterbang. Kini pelatih juruterbang dan ibu bapa mereka mencari jawapan dan keadilan, berharap kesungguhan mereka akan membuahkan hasil dalam bentuk akauntabiliti dan pampasan yang sewajarnya.

Berpangkalan di Shah Alam, pemilik syarikat Bumiputera yang kini tidak lagi beroperasi itu pernah muncul dalam berita tempatan, wawancara televisyen dan rancangan bual bicara, mempromosikan perkhidmatannya sebagai syarikat Bumiputera yang berjaya dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. (Nama syarikat ini disebut dalam Bahagian 2 dan seterusnya)

Hari ini, syarikat itu dituduh menguruskan secara salah dana pelajar melebihi RM21 juta, mengakibatkan pelatih dan keluarga mereka mengalami tekanan emosi dan kesukaran kewangan dari 2020 hingga 2022.

Sehingga kini, tiada keadilan atau pampasan yang diberikan kepada pelatih dan keluarga mereka, yang masing-masing mengalami kerugian sehingga ratusan ribu ringgit.

Siasatan Bernama mendedahkan syarikat itu juga pernah bekerjasama dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang menaja Bumiputera dalam program latihan penerbangan yang dikendalikannya.

Beberapa kumpulan juruterbang kadet yang mendaftar di bawah syarikat itu dari 2019 hingga 2022, termasuk mereka yang dibiayai sendiri dan yang mendapatkan pinjaman bank komersial. Yuran terlibat adalah antara RM400,000 hingga RM700,000 seorang.

Seorang bapa kepada bekas pelatih juruterbang, yang meminta dirujuk sebagai Yusof (bukan nama sebenar), berkata anak lelakinya adalah antara pelajar tajaan MARA yang dihantar ke Prague pada November 2020 di bawah program penerbangan syarikat itu.

Beliau menjelaskan bahawa MARA memperuntukan anggaran RM441,000 untuk membiayai setiap pelatih tajaannya di Czech Aviation Training Centre (CATC) di Prague. Dana itu diserahkan kepada syarikat berkenaan untuk membayar yuran pengajian dan penginapan mereka.

"Setahu saya, kira-kira 25 pelatih juruterbang, termasuk anak saya, ditaja oleh MARA. MARA memberikan anggaran RM11 juta kepada syarikat itu untuk menguruskan latihan penerbangan mereka ini. Namun, syarikat itu gagal menunaikan komitmen yang berkaitan dengan latihan pelajar di CATC.

"Syarikat itu gagal membayar kos sara hidup, penginapan, pengangkutan dan yuran pengajian seperti yang dijanjikan," katanya kepada Bernama.

Yusof menambah terdapat satu ketika, pelatih dari Malaysia di Prague diusir dari tempat penginapan mereka pada tengah malam kerana syarikat itu gagal membayar yuran penginapan.

Beliau berkata semasa kekalutan itu, ramai ibu bapa pelajar tampil untuk menyiasat situasi syarikat berkenaan. Mereka membentuk kumpulan WhatsApp untuk berkongsi kebimbangan dan perkembangan antara mereka.

Setelah mengetahui bahawa syarikat itu gagal membayar yuran kepada sekolah penerbangan, mereka memutuskan untuk membuat laporan polis bersama pada 5 Februari 2022 di Balai Polis Bukit Jelutong di Shah Alam, kata Yusof.

"Sebilangan daripada kami (ibu bapa) pergi bersama-sama ke Balai Polis Bukit Jelutong untuk membuat laporan, dan kami menasihatkan ibu bapa pelajar yang dibiayai sendiri untuk membuat laporan berasingan kerana anak-anak kami dibiayai oleh MARA," jelasnya.

Namun, di balai polis, polis memaklumkan bahawa mereka tidak mempunyai asas untuk memfail kes pecah amanah jenayah (CBT) dan hanya MARA, sebagai organisasi penaja, yang mempunyai kuasa untuk membuat laporan sedemikian, bukan ibu bapa atau pelajar kecuali mereka yang dibiayai sendiri.

"IO (pegawai penyiasat) berkata bahawa kerana dana itu bukan datang secara langsung daripada saya tetapi daripada MARA, yang sepatutnya membuat laporan polis untuk mereka menyiasat di bawah kes pecah amanah," katanya.

Menurut Yusof, semasa permulaan pandemik COVID-19, isu melibatkan syarikat itu mula meruncing, MARA menahan pengeluaran dana berjumlah kira-kira RM9 juta kerana isu-isu yang tidak selesai dengan syarikat itu.

Akhirnya, pemilik syarikat gagal menyelesaikan isu mereka dan akibatnya, pelajar yang sepatutnya dihantar ke Prague untuk latihan penerbangan dihantar oleh MARA ke sekolah penerbangan tempatan di seluruh negara.

Beliau berkata bagi mereka yang sudah berada di sekolah penerbangan di Prague ketika itu, MARA campur tangan dan menambah dana untuk pelajar tajaan MARA, termasuk anak lelakinya, yang berjaya menyelesaikan masalah mereka.

Namun, Yusof berkata beliau bersimpati dengan mereka yang dibiayai sendiri kerana masalah mereka belum selesai. Mereka terpaksa menggunakan wang sendiri untuk membayar CATC secara langsung. Bagi yang tidak mempunyai wang terpaksa dipanggil pulang ke Malaysia tanpa menyelesaikan latihan juruterbang mereka.

 

Keluarga Berjuang Menuntut Keadilan di Sebalik Krisis Kewangan dan Tindakan Undang-Undang

 

Ramai pelatih dan keluarga mereka telah mengemukakan aduan kepada syarikat itu, mencari penyelesaian secara damai. Ramai mangsa mendakwa pemilik syarikat itu membuat janji palsu untuk menyelesaikan masalah berkenaan, tetapi kemudian membisu dan menghilangkan diri tanpa memberikan sebarang alasan.

Beberapa pelajar dan keluarga mereka terus mencari keadilan. Namun, banyak laporan polis dan tindakan undang-undang yang diambil oleh beberapa mangsa tidak diendahkan.

Antara ibu bapa yang masih mencari keadilan ialah Azlira Bosra, seorang juruterbang komersial berusia 58 tahun dengan pengalaman selama 34 tahun.

Pada Januari 2021, beliau mendaftarkan anak perempuannya, Sofea, kini berusia 21 tahun, di bawah syarikat itu, dengan harapan untuk melihat anaknya menjadi juruterbang. Namun, syarikat itu didakwa menghilangkan diri dengan RM230,000 dana yang diamanahkan olehnya.

Azlira memulakan tindakan undang-undang terhadap syarikat dan individu utama syarikat pada Mei 2022. Mahkamah Sesyen Shah Alam memanggil empat individu yang berkaitan dengan syarikat berkenaan.

"Mahkamah telah memanggil mereka, tetapi tiada seorang pun hadir pada mana-mana prosiding, malah tiada seorang wakil pun. Saya juga meletakkan iklan di akhbar tempatan, tetapi tidak berhasil. Mereka langsung tidak peduli," katanya dalam satu temu bual dengan Bernama.

Anak perempuan Azlira adalah antara pelajar yang dibiayai sendiri dan bapa kepada empat anak itu kini bekerjasama dengan ibu bapa lain yang terjejas dalam usaha kolektif untuk mendedahkan pihak yang didakwa menguruskan dana secara salah ini.

Ketika perjuangan untuk keadilan berterusan, keluarga tetap teguh dalam mengejar akauntabiliti. Kisah peribadi keluarga yang terjejas diketengahkan dalam bahagian 2.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan