KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching hari ini menyampaikan sumbangan kuih tradisional kaum India kepada 25 petugas Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) yang akan menyambut perayaan Deepavali tidak lama lagi.
Majlis penyerahan sumbangan kuih tradisional muruku itu diadakan di lobi Wisma Bernama dan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj, Ketua Jabatan Penyiaran TV dan Radio Mohd Shukri Ishak dan Ketua Bernama TVB Nor Hamzeela Md Hambali.
Bercakap kepada Bernama selepas majlis berkenaan, Teo berkata kemajmukan rakyat Malaysia menjadikan setiap musim perayaan yang disambut di negara ini unik dan mengujakan buat semua lapisan masyarakat.
"Memandangkan perayaan Deepavali akan disambut tidak lama lagi, saya ingin mengambil kesempatan datang ke sini bagi menyampaikan sedikit muruku kepada petugas Bernama yang menyambut perayaan tersebut," katanya.
Pada majlis berkenaan, Teo turut meluangkan masa beramah mesra dengan petugas yang hadir dan menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Hari Deepavali kepada semua petugas Bernama yang meraikannya pada 31 Okt ini.
Perayaan Deepavali yang disambut oleh penganut agama Hindu turut dikenali sebagai Pesta Cahaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial