DUNIA

Bekas Presiden Peru Toledo Dijatuhi Hukuman Penjara 20 Tahun Kesalahan Rasuah

22/10/2024 02:37 PM

RIO DE JANEIRO, 22 Okt (Bernama-dpa) -- Bekas presiden Peru Alejandro Toledo dijatuhi hukuman penjara 20 tahun enam bulan pada Isnin kerana menerima rasuah dalam skandal rasuah yang melibatkan syarikat pembinaan Brazil, Odebrecht.

Mahkamah di Lima mendapati Toledo, yang memerintah Peru dari 2001 hingga 2006, menerima sogokan US$35 juta sebagai balasan untuk kontrak membina sebahagian Lebuhraya Interoceanic yang menghubungkan Rio de Janeiro dengan Lima, lapor Agensi Berita Jerman dpa.

Mahkamah menyatakan bahawa tindakan Toledo, 78 tahun, telah menyebabkan kerugian kewangan kepada negara. Kes yang dikenali sebagai Odebrecht affair ini dianggap sebagai skandal rasuah terbesar di Amerika Latin.

Selepas penggal presidennya berakhir pada 2006, Toledo berpindah ke Amerika Syarikat (AS).

Peru mengeluarkan waran tangkap terhadap Toledo pada 2017. Beliau ditahan di AS pada 2019, dan selepas melalui proses undang-undang yang panjang, Toledo menyerah diri kepada pihak berkuasa AS tahun lepas dan diekstradisi ke Peru.

Toledo menafikan dakwaan itu dan mendakwa dirinya menjadi mangsa penganiayaan politik.

Jabatan Kehakiman AS menyatakan bahawa syarikat pembinaan gergasi itu, yang diasaskan oleh pendatang Jerman, membayar hampir US$800 juta dalam bentuk sogokan kepada individu di 12 negara.

Projek pembinaan sering kali menelan belanja jauh lebih besar daripada yang dirancang. Sebagai contoh, bahagian Lebuhraya Interoceanic di Peru akhirnya menelan kos US$2.1 bilion berbanding anggaran asal US$850 juta.

-- BERNAMA-dpa


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan