DUNIA

Qualcomm Perkenal Platform Mudah Alih Pertama Dengan CPU Terpantas Di Dunia

22/10/2024 03:35 PM

MAUI, Amerika Syarikat, 22 Okt (Bernama-Xinhua) -- Pengeluar cip terkemuka Amerika Syarikat, Qualcomm pada Isnin melancarkan Snapdragon Mobile Platform pertama yang menampilkan CPU mudah alih terpantas di dunia, lapor Xinhua.

Platform yang dinamakan Snapdragon 8 Elite dilancarkan semasa sidang kemuncak teknologi tahunan Qualcomm di Maui, Hawaii, Amerika Syarikat.

Platform itu memacu era baharu AI generatif pada peranti, dibangunkan untuk mengendalikan kerumitan AI berbilang dengan lancar sambil mengutamakan privasi.

Menurut Qualcomm, Snapdragon 8 Elite yang dilengkapi dengan CPU Oryon buatan khusus generasi baharu adalah system-on-a-chip mudah alih paling berkuasa dan terpantas di dunia.

Platform terbabit memberikan peningkatan prestasi dan kecekapan kuasa yang ketara serta mengubah pengalaman peranti dengan sokongan AI generatif multimodal, fotografi AI yang diperbaharui, permainan, dan audio berkualiti studio — semuanya disokong oleh sambungan yang dipertingkatkan oleh AI.

Qualcomm memperkenalkan CPU Oryon dalam komputer peribadi (PC) awal tahun ini.

“Kami sangat teruja untuk membawa kuasa Qualcomm Oryon ke dalam platform mudah alih Snapdragon kami buat pertama kali.

“Ia adalah lonjakan besar dan kami menjangkakan pengguna akan sangat teruja dengan pengalaman baharu yang dikuasakan oleh teknologi CPU kami,” kata Chris Patrick, naib presiden kanan dan pengurus besar telefon bimbit, Qualcomm Technologies, Inc.

Menurut Qualcomm, CPU Oryon yang pertama kali digunakan dalam peranti mudah alih ini menawarkan peningkatan prestasi sebanyak 45 peratus, kecekapan kuasa 44 peratus lebih tinggi dan cache data berkongsi terbesar dalam industri mudah alih.

Sidang kemuncak teknologi berlangsung dari Isnin hingga Rabu, dengan syarikat itu melancarkan platform generasi baharu serta mempamerkan teknologi inovatif yang akan memacu peranti pengguna serta kenderaan.

-- BERNAMA-XINHUA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan