ISKANDAR PUTERI, 22 Okt (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus memberikan fokus terhadap isu keganasan rumah tangga, kata Timbalan Menteri berkaitan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Beliau berkata sebanyak 577 kes direkodkan tahun lepas menerusi statistik penderaan membabitkan wanita oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) iaitu peningkatan daripada 422 kes pada 2022 dan untuk tahun ini sehingga Ogos sebanyak 442 kes dilaporkan.
"Walaupun kerajaan telah menguat kuasa Akta Keganasan Rumah Tangga 1994, namun isu kekerasan dalam rumah tangga masih menjadi masalah serius. Masih ramai mangsa, terutama wanita dan kanak-kanak, menghadapi kesulitan untuk mendapatkan perlindungan dan sokongan.
"Selain itu, beberapa isu lain yang harus juga diberi perhatian bersama seperti isu pengabaian anak, kesihatan mental serta isu-isu berkaitan perkahwinan dan perceraian dalam kalangan pasangan yang secara tidak langsung boleh merapuhkan peranan dan fungsi institusi kekeluargaan di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen Pemerkasaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat peringkat negeri (Komentar 2024) di Kompleks Sukan Educity di sini, hari ini.
Noraini berkata masyarakat memainkan peranan yang sangat penting terutama dalam memberikan bantuan secara langsung bagi kes penderaan atau jenayah melibatkan keganasan keluarga.
Bagi Johor katanya sebanyak 21,074 kes yang merangkumi kategori kanak-kanak, dewasa, Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas telah diberikan intervensi krisis oleh Sukarelawan Kaunselor Berdaftar (SKB) meliputi sesi kaunseling individu, pasangan, keluarga dan kelompok kepada komuniti.
"Kami percaya dengan penglibatan lebih ramai ahli komuniti bersama pihak kerajaan, seperti menyertai Skuad Waja di bawah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) boleh membantu lebih ramai rakyat negeri ini menempuhi masalah mereka," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial