AM

Menguruskan Komplikasi Skoliosis Dalam Kalangan Dewasa

22/10/2024 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Walaupun kajian menunjukkan kira-kira 2.55 peratus rakyat Malaysia berusia 13 hingga 15 tahun didiagnosis dengan skoliosis, namun penyakit itu juga boleh berlaku kepada golongan dewasa dan ia merupakan satu aspek yang sering diabaikan.

Skoliosis ialah keadaan tulang belakang pesakit menunjukkan kelengkungan sisi yang tidak normal, lazimnya berbentuk seperti huruf C atau S dan keadaan itu memberi kesan ketara kepada kualiti hidup pesakit.

Pakar Bedah Tulang Belakang dari Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Dr Saw Lim Beng berkata keadaan itu juga berbeza bagi pesakit dewasa dan kanak-kanak dari segi punca, gejala dan pilihan rawatan yang tersedia.

Beliau berkata skoliosis pada orang dewasa boleh terjadi dalam dua cara iaitu berlaku semasa zaman kanak-kanak atau remaja yang tidak menimbulkan masalah pada awalnya tetapi semakin teruk dan menyebabkan kesulitan apabila menginjak dewasa.

"Keadaan ini dipanggil skoliosis Idiopatik Dewasa. Jenis kedua ialah "skoliosis De novo" yang berlaku apabila pesakit telah mencecah dewasa disebabkan degenerasi tulang belakang akibat penuaan. Kedua-dua jenis ini boleh menjejaskan kehidupan seharian seseorang dengan ketara jika tidak diuruskan dengan betul.

"Faktor risiko lain mendapat skoliosis dewasa termasuklah kurang kekuatan otot paraspinal akibat senaman yang tidak mencukupi, kualiti tulang yang lemah, lebih banyak menggunakan tulang belakang untuk membuat kerja buruh, tidak menjaga belakang dengan baik atau postur badan lemah, serta patah tulang belakang pada usia muda," katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pesakit dewasa dengan skoliosis sering mengalami sakit belakang atau ketidakseimbangan badan, termasuk gejala biasa seperti kekakuan atau sakit belakang terutamanya pada bahagian sendi faset yang terjejas akibat ketidakseimbangan sehingga menyebabkan rasa tidak selesa dan sakit belakang.

Dr Saw berkata skoliosis yang serius boleh menyebabkan komplikasi, seperti mampatan saraf tulang belakang yang mungkin mengakibatkan kaki menjadi kebas, lemah serta sukar untuk berjalan dan kes lebih teruk pula melibatkan tulang belakang toraks yang boleh menyebabkan kurang toleransi senaman dan gangguan pernafasan.

"Bagi mendiagnosis skoliosis dengan tepat, imbasan sinar-X merupakan peralatan terbaik kerana ia mampu mengukur sudut Cobb untuk menentukan tahap skoliosis.

"Selain itu, analisis pengimejan resonans magnetik (MRI) tulang belakang juga akan dijalankan untuk menilai sebarang mampatan saraf," katanya dan menambah peralatan diagnostik ini penting untuk menilai tahap keterukan skoliosis bagi menyesuaikan strategi rawatan dengan pakar bedah tulang belakang.

Bagi pengurusan skoliosis yang berkesan dalam kalangan dewasa, Dr Saw berkata pelan rawatan biasanya disesuaikan mengikut profil pesakit untuk mengoptimumkan hasil dan meningkatkan kualiti hidup dan jangkaan pesakit.

Beliau berkata strategi yang dirangka khusus ini mengambil kira pelbagai ciri setiap pesakit termasuk tahap kelengkungan tulang belakang, umur, status kesihatan keseluruhan, kualiti tulang, tabiat gaya hidup dan gejala tertentu.

"Pelan ini merangkumi rawatan konservatif atau rawatan pembedahan lanjutan. Pendekatan konservatif selalunya melibatkan fisioterapi atau senaman kendiri, seperti berenang, pilates dan yoga untuk meningkatkan kelenturan dan kekuatan tulang belakang serta penggunaan ubat melegakan kesakitan atau ketegangan otot.

"Kaedah pembedahan masih diperlukan dalam beberapa kes skoliosis dewasa setelah membuat pertimbangan teliti, namun pembedahan bukanlah satu-satunya penyelesaian untuk mengurangkan ketidakselesaan yang berkait dengan skoliosis, pembedahan boleh mengehadkan mobiliti tulang belakang akibat daripada penetapan tulang belakang.

"Justeru, ia tidak disyorkan untuk pesakit yang mempunyai lengkungan atau gejala ringan, bagaimanapun dalam kes kelengkungan tulang belakang yang serius atau gejala neurologi yang teruk, manfaat pembedahan mungkin melebihi risiko, maka pilihan pembedahan lebih disyorkan," katanya.

Dr Saw berkata peralatan dan teknik pembedahan yang canggih pada dunia hari ini dapat membantu pakar bedah tulang belakang dalam beberapa aspek penting prosedur, seperti pemantauan tepat pada saraf dan fungsi neurologi semasa pembedahan dan navigasi atau teknologi bantuan robotik untuk meningkatkan ketepatan memasukkan skru pedikel semasa pembedahan.

Bagi pesakit bergejala yang tidak ingin melakukan pembedahan, beliau berkata terdapat pelbagai prosedur untuk mengawal kesakitan, seperti teknik ablasi frekuensi radio, steroid epidural, serta prosedur tahan sakit yang lain.

Dr Saw berkata pengesanan awal, pengurusan komprehensif dan pemantauan berterusan memainkan peranan penting untuk mengurangkan perkembangan skoliosis dan meningkatkan hasil kesihatan secara menyeluruh.

Beliau menyarankan pesakit melakukan pemeriksaan berkala setiap dua tahun dan bersenam bagi mengekalkan fleksibiliti tulang belakang dan kekuatan otot bagi mencegah komplikasi daripada menjadi semakin teruk, selain meningkatkan kualiti hidup pesakit.

"Pengambilan vitamin D dan suplemen kalsium juga boleh membantu menguatkan tulang dan mengurangkan risiko keretakan tulang dan kemudaratan skoliosis.

"Bagi memaknakan Bulan Kesedaran Skoliosis, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway yang merupakan hospital kuaternari swasta terbesar di Malaysia telah menganjurkan acara baru-baru ini, memaparkan demonstrasi pembedahan skoliosis secara langsung, perkongsian daripada pakar bedah tulang belakang dan pemeriksaan percuma," katanya.

-- BERNAMA

 

Penafian: Ini ialah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.

 


PT PNW HAZ


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan