AM

URWAH, Etiqa Takaful Jayakan Program Bantuan Banjir Di Kedah

23/10/2024 11:26 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Persatuan Amal Kebajikan Sahabat Urwah (URWAH) dengan kerjasama Etiqa Takaful menyampaikan bantuan kepada keluarga terjejas banjir di Kedah melalui Program Bantuan Banjir yang komprehensif.

URWAH menerusi kenyataan memaklumkan lebih 1,000 keluarga di kawasan paling terjejas teruk  termasuk daerah Alor Setar, Kota Setar, Pendang, Baling, Derang, Pokok Sena, Tualang dan Kuala Muda menerima bantuan berkenaan.

Program Bantuan Banjir itu bertujuan menyediakan bantuan segera dalam bentuk kerja-kerja pembersihan serta agihan pek makanan kepada penerima dan dijayakan dengan usahasama bantuan kewangan melalui Etiqa Takaful.

"Pihak URWAH mewakili kesemua penerima bantuan mengucapkan terima kasih atas sumbangan ini kepada Etiqa Takaful, khususnya Ketua Pegawai Eksekutifnya Zafri Ab Halim," menurut kenyataan itu. 

Kenyataan itu juga memaklumkan setakat ini, URWAH telah berada di Kulim dan Kuala Muda dari 27 hingga 30 Sept dengan sukarelawan URWAH menyampaikan pek makanan serta membantu dalam kerja-kerja pembersihan rumah terpilih. 

"Dengan paras air yang semakin meningkat, URWAH kembali ke kawasan terjejas bagi memberikan bantuan lebih menyeluruh," menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Pengerusi URWAH Mohamad Dhirar berkata persatuan berkenaan komited menyokong mangsa banjir dan turut berterima kasih kepada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (Kedah) kerana membantu proses agihan serta menyediakan khidmat pengiring ke semua tempat yang terkesan.

"Melalui program ini, kami berharap dapat memberikan bantuan dan sokongan diperlukan kepada mereka yang terjejas agar mereka dapat bangkit dan membina semula kehidupan mereka,” katanya.

Selain itu, URWAH turut bekerjasama dengan tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan impak bantuan lebih besar dan penyelarasan berkesan dalam operasi bantuan berkenaan sekali gus mencapai lebih ramai keluarga yang memerlukan bantuan segera.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan