AM

EKSAN 2024 Tingkat Kesedaran Awam Mengenai Penjagaan Sumber Air

23/10/2024 11:34 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Jelajah Ekspedisi Sumber Air Negara (EKSAN) 2024 kali ini menyusuri lembangan Sungai Bernam dan Lembangan Sungai Selangor bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai penjagaan sumber air negara.

Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS) lr Amiruddin Alaldin berkata jelajah EKSAN kali keenam tahun ini memilih Selangor sebagai lokasi utama penjelajahan yang bermula di Sungai Selangor dan berakhir di Sungai Kuala Selangor. 

“Empangan Sungai Selangor merupakan empangan terbesar dan sumber utama bagi sistem pengairan dan menyumbang lebih 60 peratus keperluan bekalan air di kawasan Lembah Klang yang merangkumi Kuala Lumpur, Putrajaya dan sebahagian besar Selangor. 

“Saya berterima kasih kepada Selangor kerana sudi menjadi tuan rumah bagi EKSAN 2024.

“Diharapkan dengan pelbagai aktiviti yang dirancang dalam ekspedisi ini dapat memperkasakan komuniti untuk bersama-sama menyebarkan ilmu sekali gus menjaga sumber air demi kelangsungan masa depan,” katanya ketika sesi pelepasan peserta di ibu pejabat JPS di sini hari ini. 

Beliau berkata penganjuran EKSAN itu bertujuan memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan ekosistem akuatik dan alam sekitar secara keseluruhan.

EKSAN adalah antara program kesedaran sumber air di bawah Pengurusan Sumber Air Negara - National Water Balance Management System (NAWABS) yang diadakan sejak 2017.

Ekspedisi itu melibatkan lebih 70 peserta terdiri wakil pelbagai agensi kerajaan, penyelidik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak media dan pempengaruh media sosial.

Antara aktiviti diadakan lawatan di empangan Sungai Selangor, Kuala Kubu Bharu, Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa II, Bestari Jaya, Taman Kelip-Kelip Kampung Kuantan dan galeri Pengairan JPS Kuala Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan