EKONOMI

TransNusa, Tiga Pusat Perubatan Malaysia Bekerjasama Dalam Pelancongan Kesihatan

23/10/2024 01:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Syarikat penerbangan Indonesia, PT TransNusa Aviation Mandiri (TransNusa) memeterai perjanjian dengan Pusat Perubatan Sunway dan Asia OneHealthCare bagi menyediakan pilihan penjagaan kesihatan tambahan kepada penumpangnya selain memperluas operasi ke dalam industri pelancongan kesihatan.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata perjanjian berkenaan membolehkan penumpangnya menikmati keistimewaan tambahan di pusat perubatan terkenal iaitu Pusat Perubatan Sunway dan dua pusat perubatan milik Asia OneHealthCare, iaitu Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Ara Damansara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TransNusa Datuk Bernard Francis berkata perjanjian tersebut turut menyediakan penumpang TransNusa akses kepada pakej penjagaan kesihatan khusus dan disesuaikan.

Katanya, mengikut Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia, Indonesia merupakan penyumbang tertinggi kepada sektor pelancongan kesihatan di Malaysia mencakupi hampir 70 hingga 80 peratus daripada jumlah keseluruhan pelancong kesihatan di Malaysia tahun lepas.

Francis berkata penumpang TransNusa juga boleh menikmati Pakej Pemeriksaan Kesihatan Signature Elite pada harga diskaun RM750 (harga asal: RM1,500) di Pusat Perubatan Sunway.

“Selain diskaun, penumpang juga akan dapat menikmati naik taraf tempat duduk secara percuma. Untuk layak mendapat pakej tersebut, penumpang kami perlu menunjukkan pas masuk mereka semasa mendaftar untuk pakej di Pusat Perubatan Sunway.

“Penumpang juga boleh menikmati diskaun sebanyak 20 peratus untuk semua pemeriksaan kesihatan di Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Ara Damansara,” katanya.

Menurutnya, penumpang juga boleh menikmati pengangkutan percuma dari Lapangan Terbang Subang ke Pusat Perubatan Subang Jaya dan Pusat Perubatan Ara Damansara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan