EKONOMI

Kenanga Investment Kekalkan Unjuran KDNK 2024 Pada 5.0 Peratus

23/10/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kenanga Investment Bank Bhd mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 5.0 peratus untuk 2024 selain menjangkakannya menjadi sederhana kepada 4.8 peratus pada 2025.

Bank pelaburan itu berkata jangkaan tersebut selari dengan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM) bagi suku ketiga tahun ini.

“Kami menjangkakan pertumbuhan akan terus perlahan pada suku terakhir kepada sekitar 4.6 peratus, berikutan momentum pertumbuhan biasanya akan mereda dari suku ke suku. Prospek pertumbuhan kekal terdedah kepada faktor luaran termasuk potensi kelembapan dalam ekonomi maju disebabkan kesan tertangguh daripada kadar faedah yang lebih tinggi,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Kenanga turut menekankan ketegangan geopolitik yang meningkat di Timur Tengah dan Eropah Timur boleh menimbulkan risiko serta mengganggu rantaian bekalan global.

“Eksport Malaysia kekal rapuh, sangat bergantung kepada pemulihan China dan prestasi ekonomi Amerika Syarikat (AS). Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS boleh mengurangkan hasil eksport, terutamanya daripada AS,” katanya.

Ia seterusnya berkata ini jelas terlihat dalam data eksport bulan September apabila jumlah eksport menyusut sebanyak 0.3 peratus berbanding peningkatan sebanyak 12.0 peratus pada bulan Ogos, jauh di bawah jangkaan pasaran.

Menurutnya, eksport ke AS merosot dengan ketara kepada 9.1 peratus (Ogos: 45.4 peratus) apabila ringgit mengukuh sekitar 9.0 peratus tahun ke tahun, dengan purata RM4.26 pada bulan September (September 2023: RM4.68).

“Secara keseluruhannya, permintaan domestik kekal sebagai pemacu pertumbuhan utama, disokong oleh pasaran kerja yang stabil, ketibaan pelancong semakin meningkat dan pelaksanaan pelaburan yang diluluskan.

"Walaupun kami berhati-hati dengan prospek eksport, kami menjangkakan segmen berkaitan teknologi dalam sektor pembuatan akan mendapat manfaat daripada kitaran teknologi global,” kata Kenanga.

DoSM sebelum ini melaporkan anggaran awal menunjukkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, berikutan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.9 peratus pada suku sebelumnya.

Dalam pengeluaran KDNK awalnya, jabatan tersebut mencatatkan ekonomi berkembang sebanyak 5.1 peratus bagi Januari hingga September 2024, berbanding 3.8 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan