AM

135 Unit Gel Ultrabunyi Dicemari Bakteria Selesai Dipanggil Balik - MDA

23/10/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Baki 135 unit gel ultrabunyi jenama MyMedic bersaiz 5,000 gram yang dipercayai tercemar dengan bakteria Burkholderia cepacia complex (Bcc) selesai dipanggil semula dari fasiliti kesihatan seluruh negara.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Dr P Muralitharan berkata baki daripada 912 unit yang diedar syarikat MyMedic Innovation Sdn Bhd (MMISB) ke 108 fasiliti kesihatan dengan nombor lot USG402-2306, berjaya dipanggil balik pada 10 Julai lepas.

“MMISB berjaya membuat panggil balik 135 unit kerana 777 unit gel telah habis digunakan. Tiada pengedaran nombor lot ke tempat lain kerana gel yang dipanggil balik telah dilupuskan oleh MMISB,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Muralitharan menasihati pengguna di fasiliti kesihatan agar sentiasa menggunakan peranti perubatan mengikut arahan ditetapkan oleh pengilang supaya tiada kecederaan atau risiko kesihatan kepada pesakit dan pengguna.

Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan dan memerlukan maklumat lanjut boleh merujuk kepada pegawai di MDA melalui https://femes.mda.gov.my/

Pada 23 Julai, MDA memaklumkan MMISB telah membuat satu arahan panggil balik terhadap produk gel ultrabunyi jenama MyMedic kerana gel berkenaan tercemar dengan bakteria Bcc.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan