EKONOMI

Kerajaan Akan Pastikan Sektor Pembinaan Kekal Kompetitif, Mampan - PM Anwar

23/10/2024 02:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan mengambil langkah proaktif untuk memastikan industri pembinaan kekal kompetitif dan mampan dengan jangkaan kenaikan harga tender, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan projek infrastruktur utama untuk memastikan sektor pembinaan kekal berdaya tahan dengan meningkatkan kerjasama awam-swasta (PPP).

Projek itu termasuklah Sarawak-Sabah Link Road Fasa 2, menaik taraf Lebuhraya Pan-Borneo dan pembangunan pusat data di Johor.

“Inisiatif ini memastikan sektor kita kekal berdaya tahan dalam persekitaran kenaikan kos,” kata beliau pada pelancaran Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) dan BuildXpo 2024.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Anwar berkata industri pembinaan berkembang seiring dengan evolusi teknologi digital termasuk data raya dan kecerdasan buatan, yang meningkatkan permintaan terhadap pusat data.

“Peningkatan negara dalam Indeks Kos Pusat Data – mengatasi Oslo, Berlin dan Sydney – menunjukkan kepimpinan kita yang semakin berkembang dalam sektor ini.

“Syarikat gergasi seperti Microsoft, Amazon Web Services dan Google telah memilih Malaysia untuk pengembangan pusat data mereka berdasarkan lokasi kita yang strategik, infrastruktur yang baik dan dasar kerajaan yang menyokong,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata hubungan simbiotik antara teknologi pembinaan dan pusat data penting dalam memacu kepimpinan Malaysia dalam kedua-dua industri itu.

“Berdasarkan pertumbuhan ini yang pesat, begitu juga keperluan kepada tenaga dan air, dengan pusat data memerlukan jumlah yang besar daripada kedua-duanya untuk beroperasi dengan cekap.

“Oleh itu, mengintegrasikan teknologi hijau dan pengurusan tenaga pintar dalam pembinaan pusat data penting untuk memastikan pertumbuhan sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan peralihan kita ke arah ekonomi rendah karbon menjelang 2050,” kata beliau.

Anwar berkata kerajaan juga akan melabur dengan banyak dalam amalan bangunan hijau dan pembangunan infrastruktur rendah karbon, selaras dengan komitmen negara terhadap SDG.

Beliau berkata sektor tersebut akan memasuki fasa baharu dalam pembinaan apabila pendigitalan, kemampanan dan kerjasama akan menjadi pemacu utama kejayaan.

“Masa depan bukan sekadar matlamat; ia adalah karya terbaik anda yang sedang dibentuk. Anda bukan hanya arkitek; anda adalah pembina masa depan yang mampan. Profesionalisme, integriti, kerjasama dan pengiktirafan bermula hari ini.

“Bersama-sama, kita dapat memastikan Malaysia bukan sahaja kekal sebagai pemimpin serantau tetapi juga muncul sebagai kuasa global dalam sektor pembinaan, menetapkan penanda aras untuk inovasi dan kecemerlangan,” kata beliau.

Perdana Menteri turut berkongsi prestasi cemerlang sektor pembinaan, yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.3 peratus bagi tiga suku tahun 2024.

Ini mencatatkan pertumbuhan dua angka pertama yang dicapai negara sejak 2014, mencerminkan keupayaan industri untuk mengatasi cabaran dan muncul dengan lebih baik, kata beliau.

Semasa pandemik, industri berdepan cabaran yang besar berikutan menghentikan pembinaan dan gangguan rantaian bekalan.

Sehubungan itu, sektor tersebut menguncup sebanyak 19.3 peratus pada 2020 dan 5.1 peratus pada 2021.

Bagaimanapun, melalui tekad semua pemain industri dan usaha pemulihan yang strategik, negara menyaksikan pertumbuhan positif sebanyak 5.0 peratus pada 2022 dan 6.1 peratus pada 2023.

Anwar percaya lonjakan dalam aktiviti pembinaan akan membawa kepada lebih banyak pewujudan pekerjaan, meningkatkan pelaburan domestik dan asing serta memacu pembangunan infrastruktur di seluruh negara, melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam industri pembinaan di rantau ini.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan