EKONOMI

Pasaran Kurier Malaysia Dijangka Cecah US$1.58 Bilion Pada 2025 - Teo

23/10/2024 04:10 PM

KUALA LANGAT, 23 Okt (Bernama) -- Pasaran kurier, ekspres dan bungkusan Malaysia dijangka mencecah US$1.58 bilion (US$1=RM4.32) tahun depan, didorong oleh peningkatan permintaan e-dagang dan penambahbaikan infrastruktur, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Justeru, Teo menggesa syarikat tempatan dalam sektor tersebut untuk merebut peluang mengembangkan lagi perniagaan mereka dan menggunakan dasar dan inisiatif yang diumumkan oleh kerajaan.

Beliau berkata industri kurier adalah tonggak penting kepada ekonomi Malaysia yang membantu mempermudah e-dagang serta menyokong perniagaan kecil, menjana pendapatan sebanyak RM5.7 bilion dan mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan pada 2023.

“Dasar transformasi digital Malaysia yang agresif telah menarik perhatian pelabur global daripada bidang teknologi.

“Negara memperoleh pelaburan berjumlah US$16.9 bilion bagi tempoh sehingga 2038 daripada gergasi teknologi global seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan Oracle,” katanya dalam ucapan beliau semasa acara City-Link Express Sustainable Greener Last-Mile Delivery, di sini, hari ini.

Selain itu, Teo berkata Malaysia telah mengambil langkah berani dalam memperjuangkan ekonomi digital serantau melalui penubuhan rangkaian keselamatan kecerdasan buatan (AI) ASEAN untuk menggerakkan kepakaran dan keselamatan AI di rantau ini.

“Untuk meningkatkan kapasiti perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dengan menerima pendigitalan, RM50 juta diperuntukkan sebagai geran padanan digital bagi PKS dan geran digital untuk vendor di bawah Bank Simpanan Nasional bagi membantu usahawan tempatan terus berdaya saing dalam pasaran,” katanya.

Teo juga berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia telah memperuntukkan RM100 juta bagi tempoh lima tahun untuk memperkukuh fungsi Pusat Penyebaran Maklumat Negara bagi membantu usahawan individu meningkatkan pendapatan mereka melalui aktiviti keusahawanan dalam talian.

“Kerajaan juga bercadang untuk melaksanakan mekanisme levi pelbagai peringkat mulai 1 Jan, 2025, bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

“Hasil daripada levi akan disalurkan semula kepada industri untuk merekayasa proses perniagaan ke arah automasi dan mekanisasi,” katanya.

Bagi acara hari ini, syarikat kurier City-Link Express (M) Sdn Bhd menjalin kerjasama dengan Weststar Maxus Sdn Bhd untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan penghantarannya melalui kenderaan elektrik (EV).

Menerusi kerjasama itu, City-Link Express akan menggunakan tiga kenderaan elektrik daripada Weststar Maxus untuk mencapai penghantaran jarak jauh yang mampan dan lebih hijau, menunjukkan komitmen kukuh terhadap amalan mesra alam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan