EKONOMI

Perkembangan Sektor Peralihan Tenaga Negara Memberangsangkan Tarik Minat Jepun - Fadillah

23/10/2024 05:35 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Perkembangan sektor peralihan tenaga Malaysia yang memberangsangkan, terutamanya pembangunan tenaga hijau, tenaga boleh baharu dan pasaran tenaga telah menarik minat Japan Bank for International Cooperation (JBIC).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu selari dengan inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG) yang akan menjadi agenda utama sempena Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 ke arah memacu perkembangan peralihan tenaga negara dan ASEAN serta agenda global pembangunan tenaga yang inklusif dan saksama.

“Selanjutnya, Jepun turut menyuarakan minat pelbagai syarikat berkaitan pembuatan kabel dasar laut untuk melabur dan berpendapat Malaysia adalah negara yang terbaik untuk tujuan berkenaan,” katanya dalam catatan di laman Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) mengadakan perjumpaan dengan Pengerusi JBIC merangkap Penasihat Khas kepada Kerajaan Jepun, Tadashi Maeda, di pejabatnya di Parlimen di sini.

Perjumpaan tersebut adalah susulan pertemuan Pengerusi JBIC itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Dalam pertemuan itu, JBIC menyatakan komitmennya terhadap usaha meningkatkan pelaburan sedia ada dengan menarik lebih ramai pelabur dari Jepun ke Malaysia.

Turut hadir dalam perjumpaan tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga) PETRA Datuk Mohamad Razif Abd Mubin.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan