AM

Pengerusi ASEAN: Malaysia Berhasrat Perkukuh Kerjasama Serantau - Tiong

23/10/2024 08:24 PM

MELAKA, 23 Okt (Bernama) -- Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama serantau apabila menjadi Pengerusi ASEAN tahun depan, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, ia akan meningkatkan inisiatif pelancongan secara kolaboratif, mempromosikan keterhubungan yang lebih baik dan pertumbuhan ekonomi di seluruh Asia Tenggara.

"(Misalnya), kementerian akan terus membentuk kerjasama strategik dan kolaborasi dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk menggiatkan promosi dan merangsang permintaan perjalanan.

"Matlamat utama kami ialah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global," katanya ketika berucap pada majlis penerbangan sulung Scoot dari Singapura ke Melaka di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) Batu Berendam di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Melaka Datuk Azhar Arshad dan Ketua Pegawai Komersial Scoot Pte Ltd Calvin Chan.

Tiong berkata dari Januari hingga September tahun ini, Malaysia menerima 18.4 juta pelancong antarabangsa, mencatatkan peningkatan 27 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Beliau berkata pencapaian itu mencerminkan kejayaan strategi pelancongan Malaysia yang mengutamakan pertumbuhan ekonomi yang mampan sambil memastikan kesejahteraan masyarakat.

"(Sementara itu,) Malaysia menerima sejumlah 6.5 juta ketibaan pelancong dari Singapura dari Januari hingga September 2024 yang merekodkan peningkatan 10.2 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

"Peningkatan ini menekankan status Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi jiran terdekat kita dan komitmen terhadap nilai kerjasama dan kemakmuran bersama," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan