AM

Liputan Internet, Komunikasi Di Pahang Capai Lebih 94 Peratus - Fahmi

23/10/2024 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Tahap liputan Internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Pahang secara keseluruhannya telah mencapai 94.68 peratus manakala liputan kemudahan itu di Parlimen Kuala Krau kini di tahap 94.84 peratus.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pelaksanaan inisiatif Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa 1 di Parlimen Kuala Krau termasuk pembinaan dua menara baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jenderak dan satu di DUN Jengka juga telah siap serta kini beroperasi.

Beliau berkata pembinaan dua menara di DUN Kerdau iaitu di Kampung Tanjung Danolang dan Kampung Teluk Sabak sudah selesai manakala kerja-kerja sambungan gentian optik serta bekalan elektrik dan pemasangan peralatan elektronik sedang dilaksana.

Kedua-dua menara dijangka mula beroperasi selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.

“Semua 87 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf dengan 6,885 daripada 8,689 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan satu lokasi di DUN Kerdau iaitu di Kampung Orang Asli Paya Sendayan menikmati perkhidmatan Internet menggunakan teknologi satelit (BWA),” katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Fahmi berkata demikian ketika memberi penjelasan kepada Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) berhubung isu liputan komunikasi dan Internet yang masih lemah di kawasan Parlimen Kuala Krau.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata tiga aduan diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pada April bagi DUN Jenderak dan DUN Kerdau iaitu di kawasan perumahan PRIMA Bukit Lada, Kampung Gunung Senyum serta Felda Jenderak Utara.

Beliau berkata audit Standard Mandatori menemukan ketidakpatuhan di perumahan PRIMA Bukit Lada melibatkan rangkaian Celcom, Digi dan Maxis manakala di Felda Jenderak Utara hanya melibatkan rangkaian Celcom manakala semua rangkaian yang diuji di Kampung Gunung Senyum mematuhi piawaian.

“Surat amaran telah dikeluarkan kepada pihak CelcomDigi dan Maxis untuk membuat penambahbaikan sewajarnya… CelcomDigi telah membuat penambahbaikan dengan menjalankan kerja-kerja penaiktarafan rangkaian bagi lokasi perumahan PRIMA Bukit Lada dan telah disahkan oleh MCMC.

“Maxis telah memberikan maklum balas akan membuat penambahbaikan melalui projek penaiktarafan 4G yang dijangka selesai pada suku kedua 2025… tetapi secara peribadi, saya rasakan ini terlalu lama dan  saya akan maklumkan kepada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) Maxis (mengenai) ketidakpuasan hati atas kelewatan ini,” katanya.

Fahmi juga berkata usaha meningkatkan capaian Internet di luar bandar menggunakan teknologi fiber juga giat dilaksanakan menerusi Titik Kehadiran (PoP) dengan menjadikan sekolah sebagai hab infrastruktur jalur lebar gentian optik dan boleh dilanggan oleh komuniti setempat.

Beliau berkata di Pahang, setakat 22 Okt lepas sebanyak 57 PoP berjaya disiapkan bagi Fasa Satu menjadikan 6,048 premis tersedia dengan sambungan gentian optik untuk dilanggan komuniti setempat manakala 382 PoP bagi Fasa Dua dijadualkan siap pada akhir 2025.  

“Bagi Parlimen Kuala Krau, lima PoP selesai dibina sepenuhnya bagi Fasa 1 iaitu masing-masing satu di DUN Jenderak dan DUN Jengka serta tiga di DUN Kerdau manakala 23 PoP bagi Fasa 2 dijadualkan siap sepenuhnya akhir tahun depan

“Sebanyak 520 premis kini telah tersedia dengan sambungan gentian optik di Parlimen Kuala Krau,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan