EKONOMI

Jaminan Pembiayaan Bernilai RM1.59 Bilion Diluluskan Untuk PMKS Ekonomi Hijau, Teknologi Tinggi Dan Halal

23/10/2024 10:26 PM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Sebanyak RM1.59 bilion jaminan pembiayaan telah diluluskan oleh Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terlibat dalam ekonomi hijau, teknologi tinggi dan bidang halal daripada keseluruhan dana jaminan bernilai RM20 bilion yang diperuntukkan.

Dalam  jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen Malaysia, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata dana tersebut memberi manfaat kepada 998 syarikat pemohon, di mana 141 syarikat pemohon adalah di bawah kategori ekonomi hijau dan 857 syarikat pemohon adalah di bawah kategori teknologi tinggi.

MITI menjawab soalan yang dikemukakan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang ingin tahu sama ada kerajaan merancang untuk menubuhkan Dana Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) Nasional serta menyediakan insentif kewangan program sokongan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam meningkatkan keupayaan pengurangan karbon mereka.

Dalam pada itu, MITI berkata penyediaan pembiayaan sebanyak RM200 bilion oleh institusi perbankan yang diselaraskan oleh Bank Negara Malaysia juga merupakan antara insentif di bawah Belanjawan 2024 untuk menggalakkan peralihan ekonomi rendah karbon.

Selain itu ia juga melibatkan potongan cukai sehingga RM50,000 ke atas perbelanjaan berkaitan ESG yang dilakukan bermula dari 2024 hingga 2027 yang diselaraskan oleh Kementerian Kewangan.

“Potongan cukai tambahan sehingga RM300,000 untuk perbelanjaan yang dilakukan bagi tujuan pemantauan, pelaporan dan pengesahan (monitoring, reporting and verification – MRV) khususnya bagi pembangunan projek karbon yang diselaraskan oleh Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) dan Bursa Malaysia,” tambah MITI.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan