AM

RMHC Malaysia Sumbang Lima Televisyen Pintar Kepada SK (Felda) Pasir Besar

24/10/2024 08:47 AM

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), sebuah badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, menyumbang lima unit televisyen pintar kepada Sekolah Kebangsaan (Felda) Pasir Besar di Negeri Sembilan.

RMHC Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif itu, yang dilaksanakan secara kerjasama dengan Yayasan Jaafar Ahmad, disempurnakan oleh pengasas yayasan berkenaan merangkap Presiden RMHC Malaysia Datuk Azmir Jaafar.

“Sumbangan televisyen pintar adalah pemberian Yayasan Jaafar Ahmad bagi membantu guru dan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran selain meningkatkan kecelikan serta kecekapan digital anak sekolah luar bandar kepada teknologi terkini.

“Sejumlah RM11,000 telah dibelanjakan Yayasan Jaafar Ahmad bagi menyediakan kemudahan ini dan disalurkan melalui RMHC Malaysia sebagai badan kebajikan yang memfokuskan kesejahteraan kanak-kanak melalui pendidikan dan kesihatan,” menurut RMHC.

Menerusi kenyataan sama, Azmir melahirkan harapan agar sumbangan kecil itu boleh membawa makna dan manfaat besar kepada kehidupan serta pemikiran pelajar.

“Sebagai anak Felda, saya faham akan cabaran sebagai sekolah luar bandar dan kekangan yang mereka hadapi. Perkara inilah yang memberikan motivasi kepada saya untuk menyemai bakti di sini supaya anak Felda mendapat akses kepada pendidikan dan bahan terkini,” katanya.

Dalam usaha menyokong kesejahteraan kanak-kanak melalui pendidikan, RMHC Malaysia menerusi antara program terasnya, Pek Kembali Ke Sekolah, turut menyumbang kelengkapan persekolahan seperti beg dan alat tulis yang telah memanfaatkan hampir 200,000 kanak-kanak seluruh negara.

Sehingga kini, menurut kenyataan itu hampir RM10 juta hasil sumbangan orang ramai termasuk syarikat korporat, dermawan serta pelanggan McDonald’s yang menyumbang melalui Kiosk Layan Diri di restoran telah dibelanjakan untuk tujuan berkenaan dan akan diteruskan pada masa akan datang.

Pelaksanaan program itu turut disokong oleh Yayasan Jaafar Ahmad yang menaja pek ini kepada hampir 1,000 murid prasekolah di seluruh Negeri Sembilan.

RMHC Malaysia ditubuhkan pada Februari 1990 sebagai organisasi bukan berasaskan keuntungan dengan misi untuk mewujudkan, mencari serta menyokong program yang meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak kurang bernasib baik di Malaysia dalam aspek kesihatan, pendidikan dan kebajikan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://rmhc-malaysia.my/.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan