POLITIK

Barisan Kepimpinan Amanah Labuan Lengkap Dengan Pembentukan Sayap Pemuda

24/10/2024 09:43 AM

LABUAN, 23 Okt (Bernama) -- Barisan kepimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Kawasan Labuan kini lengkap dengan terbentuknya sayap pemuda secara rasmi selepas tidak aktif sejak Mac 2020 apabila jawatankuasa sebelum ini meninggalkan parti dan kepimpinan pusat bertindak menggantung operasinya.

Ketua Amanah Labuan Datuk Dr Ramli Tahir mengesahkan kepimpinan baharu pemuda akan diketuai Mohd Shahezzad Salim dengan Mohd Khairul Feirzuwan Ahmad Kassim sebagai timbalannya.

"Naib Ketua ialah Sharif Khairul Ikhwan Malai manakala Mohd Haziq Danial Marali memegang jawatan sebagai Setiausaha," katanya kepada Bernama hari ini.

Pembentukan barisan kepimpinan pemuda baharu itu dirasmikan pada 20 Okt lepas dalam majlis yang disaksikan oleh Ketua Amanah Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Dr Ramli berkata Amanah, sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, terus komited memainkan peranan proaktif dalam menyokong usaha kerajaan memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat dan kepimpinan Kawasan Labuan kekal dengan beliau sebagai ketua, Andy Herdywadi Jaafar sebagai timbalan manakala Rahim Suailin berkhidmat sebagai naib ketua.

Beliau berkata bagi sayap wanita, Maureen Tidal adalah ketua manakala Rosina Mustapin sebagai timbalannya dan Rosinah Jahar memegang jawatan naib ketua.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan