AM

PKNPk Fokus Kepada Inisiatif Teknologi Hijau - Redza Rafiq

24/10/2024 10:40 AM

IPOH, 23 Okt  (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) memfokus kepada teknologi hijau dengan pelaksanaan beberapa inisiatif sebagai satu daripada enam sektor utama yang diterajui perbadanan itu. 

Ketua Pegawai Esekutif Kumpulannya Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata teknologi hijau kini menjadi sebahagian daripada agenda penting PKNPk.

Beliau berkata ini termasuk pembabitan dalam projek tenaga boleh diperbaharui menerusi inisiatif pemasangan 75 lampu jalan bertenaga solar di sekitar Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru oleh anak syarikatnya Perak Industrial Resources Sdn Bhd.

“Ia langkah pertama ke arah rancangan lebih besar susulan daripada arahan MB (Menteri Besar) agar lampu jalan bertenaga solar dipasang di seluruh negeri ini. 

"Perlahan-lahan kita buat langkah lebih besar ke arah mengurangkan pelepasan karbon dan lebih penting mengurangkan kos tenaga,” katanya kepada pemberita ketika sesi Nasi Lemak Kopi O' di sini hari ini.

Redza Rafiq berkata PKNPk juga menjadi peneraju dalam inisiatif tenaga boleh diperbaharui melalui projek Solar Skala Besar (LSS) melibatkan anak syarikat Majuperak Holdings Berhad (MHB) yang bekerjasama dengan VSD Automation Sdn Bhd membida LSS5 bagi menjana 60MW tenaga dengan anggaran pelaburan RM189 juta.

Beliau berkata (MHB) juga telah mengukuhkan kerjasama dengan Tenaga National Berhad (TNB) Renewables Sdn Bhd untuk membangunkan taman solar 100MW di atas tanah seluas 161.9 hektar. 

“Projek ini melibatkan pelaburan RM300 juta dan menyumbang dengan ketara kepada portfolio tenaga hijau Perak. Kita juga akan meneroka bidang baharu menerusi Projek Solar Terapung Hibrid di empangan Chenderoh dan Temenggor.  

“Loji solar terapung ini memanfaatkan tenaga solar dari permukaan takungan air dan pada masa sama memelihara ekosistem sekitarnya,” katanya. 

Redza Rafiq berkata Perak kaya dengan sumber semula jadi, oleh itu akan ada lebih banyak inisiatif teknologi hijau yang dirancang kerana projek tersebut menyokong keperluan tenaga negeri sekali gus menggalakkan kelestarian alam sekitar.

Mengenai acara pada hari ini, Redza Rafiq berkata ia adalah platform terbuka untuk dialog serta mengeratkan hubungan antara PKNPk dan media, dan beliau turut menekankan peranan penting dimainkan media dalam menyampaikan usaha yang dijalankan PKNPk kepada orang awam. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan