AM

Kepengerusian ASEAN: Kesiapsiagaan Banjir Kilat Diberi Keutamaan Sepanjang Masa - Dr Zaliha

24/10/2024 11:46 AM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kesiapsiagaan menghadapi banjir, terutama banjir kilat di ibu negara, terus diberi keutamaan sepanjang masa khususnya selepas Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN daripada Laos pada Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung 11 Okt lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keutamaan ini juga mengambil kira status Kuala Lumpur yang bukan sahaja berperanan sebagai pintu masuk utama negara, tetapi juga sebagai ibu negara dan pusat ekonomi serantau.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memikul tanggungjawab untuk memastikan keindahan dan kesejahteraan ibu kota terpelihara, terutamanya dalam persiapan bagi penganjuran Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kesiapsiagaan menghadapi banjir memerlukan pendekatan bersepadu yang melibatkan kerjasama bukan hanya daripada DBKL sebagai pihak berkuasa tempatan, tetapi juga agensi lain seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Meteorologi Malaysia, serta SWCorp (Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam),” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai tahap kesiapsiagaan Kuala Lumpur bagi menghadapi Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, memandangkan isu banjir kilat masih belum diselesaikan sepenuhnya dan berpotensi menjejaskan imej serta persiapan negara untuk acara-acara berkenaan.

Bagi langkah jangka sederhana untuk menangani banjir kilat, Dr Zaliha berkata DBKL sedang menyelenggara 15 kolam takungan banjir terbuka dan sembilan kolam tertutup bawah tanah

"Kerja-kerja pengorekan kelodak (desiltation) telah dijalankan di semua kolam takungan banjir mengikut keperluan semasa dan jadual berkala. Di samping itu, longkang tepi jalan juga telah dinaik taraf dengan memperbesar bukaan saluran bagi mengurangkan risiko banjir kilat," katanya.

Untuk langkah jangka panjang, beliau berkata sebanyak tujuh projek mitigasi banjir telah siap pada tahun 2022 dan 2023. Pada tahun ini, terdapat 14 projek yang sedang diusahakan, termasuk dua projek yang telah selesai, empat sedang dalam pelaksanaan, dan lapan di peringkat analisis tender.

Menjawab soalan tambahan Onn mengenai dakwaan kelewatan pasukan keselamatan tiba dalam insiden banjir kilat baru-baru ini, Dr Zaliha menafikan dakwaan tersebut.

"Pada hari kejadian, laporan Jabatan Meteorologi Malaysia menunjukkan hujan bermula pada pukul 8.30 pagi dan berhenti sekitar 10.45 pagi. Dalam tempoh dua jam 15 minit itu, pasukan petugas dari Jabatan Pengairan dan Saliran serta DBKL sudah berada di lapangan untuk melencongkan laluan air dan membantu menyuraikan air," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai persediaan negara dalam aspek ASEAN Smart Cities, Dr Zaliha berkata pihaknya akan mempertingkatkan modul program bandar pintar sedia ada bagi tujuan tersebut.

“Dalam persediaan kita menghadapi Kepengerusian ASEAN, kita sudah mempunyai program bandar pintar di Kuala Lumpur dan akan menambah baik modul yang ada bagi memastikan aspek keselamatan serta kesesakan jalan raya turut diberi perhatian,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk menjadikan satu daripada bangunan warisan di ibu negara, iaitu Galeri Kuala Lumpur, sebagai Pusat Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan