EKONOMI

Kadar Inflasi Terkawal Penting Untuk Pertumbuhan Ekonomi Negara

24/10/2024 01:17 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kadar inflasi yang terkawal pada 2.0 hingga 3.0 peratus amat penting bagi ekonomi negara untuk terus berkembang kata Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib hari ini. 

Ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata kerajaan akan terus memantau dan memastikan harga keperluan asas berada dalam keadaan stabil dan akan terus disubsidi jika perlu.

"Dari segi pelaksanaan, kita akan sentiasa pastikan bahawa kepentingan rakyat akan diutamakan," tambahnya.  

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan dari Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai tindakan kerajaan melalui Kementerian Ekonomi untuk mengawal kadar inflasi negara. 

Kadar inflasi pada bulan Ogos 2024 negara terus menyederhana, iaitu pada kadar 1.9 peratus dan kekal di bawah 2.0 peratus sejak Julai 2023.

Secara dasarnya, Hanifah berkata penyederhanaan kadar inflasi bukan bermaksud penurunan paras harga tetapi merujuk juga kepada peningkatan harga barangan pada kadar yang lebih perlahan. 

Terdahulu, beliau berkata ketegangan geopolitik yang berterusan pada peringkat global serta prospek pertumbuhan keluaran dalam negara kasar yang semakin baik pada tahun 2025 dijangka akan memberi tekanan terhadap kedudukan inflasi negara.

Kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat inflasi, katanya. 

Usaha jangka pendek yang telah dikenal pasti termasuk program bantuan tunai kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Sara Hidup yang akan diteruskan dengan peruntukan lebih tinggi pada tahun 2025. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan