AM

Tiga Rakyat Malaysia Termasuk Dua Beradik Dalam Misi Kembara Berbasikal Ke Makkah

24/10/2024 02:48 PM

ALOR SETAR, 24 Okt (Bernama) -- Tiga rakyat Malaysia yang memulakan kayuhan Kembara Berbasikal ke Makkah dari Kuala Lumpur pada 12 Okt lepas, kini sudah bersedia untuk memulakan kayuhan menuju Thailand dari sini hari ini, dalam perjalanan menuju tanah suci yang dianggarkan sejauh 6,000 kilometer (km).

Kembara berbasikal yang disertai Dahalan Yahaya, 71, bersama adiknya Zam, 61, dan Ahmad Zulkifli Ahmad, 56, dijangka mengambil masa kira-kira enam bulan, merentasi beberapa negara termasuk Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tiba di Arab Saudi.

Dahalan yang mengetuai kembara itu berkata beliau mendapat idea untuk berbasikal ke Makkah selepas melihat pasangan suami isteri, Ahmad Mohd Isa, 36, dan Noradilah Mohd Sapie, 37, sebelum ini yang telah berjaya sampai ke Makkah sebanyak dua kali dengan hanya menunggang basikal.

"Kami telah mulakan latihan sejak dua tahun lepas, berbasikal pusing Malaysia. Kami juga akan pastikan untuk mengayuh sekurang-kurangnya 100km setiap hari bagi memastikan tahap stamina dan kekuatan untuk mengayuh semasa kembara ini dapat dilakukan dengan baik," katanya pada majlis pelepasan kembara di sini, hari ini. Ketiga-tiga mereka tiba di sini dari ibu negara Isnin lepas.

Sementara itu Zam yang merupakan adik ke tujuh daripada 12 beradik berkata beliau bersetuju menyertai kembara selepas dipujuk oleh abang ketiganya itu.

"Kayuhan hari ini berjarak kira-kira 45km untuk tiba di Danok, Thailand. Selepas itu kayuhan akan diteruskan sehingga ke Bangkok sejauh 999km yang dianggarkan mengambil masa antara 23 hingga 25 hari dan kita akan bermalam di masjid atau surau, tetapi sekiranya tiada tempat untuk bermalam, kami akan memasang khemah.

"Kami akan berehat seminggu di Thailand, lepas itu akan naik kapal terbang ke New Delhi, India kerana tidak boleh masuk ke Myanmar dan Bangladesh melalui jalan darat. kerana pintu sempadan ditutup. Selepas itu kayuhan akan diteruskan di India, Pakistan, Iran sebelum menaiki feri untuk ke UAE dan dijangka tiba di Arab Saudi pada bulan puasa, Mac," katanya.

Beliau berkata segala persiapan telah dibuat termasuk dari aspek fizikal, mental, kesihatan, dokumentasi, kayuhan serta mengkaji laluan perjalanan yang digunakan sepanjang kembara itu.

"Kami bernasib baik kerana sebelum ini ada rakyat kita yang telah berjaya sampai ke Makkah dengan berbasikal, jadi kita akan gunakan buku lognya. Kami akan gunakan laluan yang sama, dan akan menghubungi kedutaan Malaysia di semua negara yang terlibat untuk mendapatkan maklumat-maklumat penting yang diperlukan," katanya.

Mereka bertiga juga turut diiringi oleh tiga pengayuh basikal yang lain dari Alor Setar sehingga ke Bangkok, Thailand sebagai tanda sokongan kepada peserta kembara itu.

Sementara itu Ahmad Mohd Isa yang berjaya sampai ke Makkah sebanyak dua kali iaitu pada tahun 2016 dan 2023 berkata, beliau mengambil masa sebulan untuk berkongsi pengalaman dari aspek kewangan, pemakanan dan komunikasi dengan peserta kembara itu, kerana ini merupakan kali pertama mereka berbasikal ke Makkah.

"Semasa saya pergi dulu, saya tidak ada orang untuk dirujuk tetapi selepas berjaya ke Makkah dua kali, kini mereka pula boleh ganti dan sambung kembara ini dengan rujukan yang ada. Saya juga berharap mereka di luar sana membuka mata untuk pergi menunaikan umrah dan haji pada usia muda dengan apa cara sekalipun," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan