AM

Waspada Risiko Denggi Selepas Banjir Surut

24/10/2024 03:25 PM

Oleh Sakini Mohd Said

KUANTAN, 24 Okt (Bernama) -- Trend penularan kes demam denggi yang sering berlaku selepas banjir surut menuntut penduduk di negeri ini, khususnya yang tinggal di kawasan banjir mengambil langkah berjaga-jaga dan melakukan kerja pembersihan secepat mungkin. 

Menyifatkan perkara itu tidak boleh dipandang enteng, beberapa pakar yang ditemu ramah Bernama berkata ini berdasarkan beberapa rekod pada tahun sebelum ini yang mendapati berlakunya peningkatan kes gigitan nyamuk Aedes betina, seminggu selepas banjir surut. 

Kebimbangan pakar mengenai trend ini pernah dibangkitkan Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini dan turut mengingatkan penduduk di kawasan berkenaan supaya lebih berwaspada.

Pakar perubatan kesihatan awam Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Rozita Hod berkata paling dikhuatiri adalah golongan berisiko, warga emas, ibu mengandung dan mereka yang menghidap penyaki kronik.  

“Kalau diihat banjir yang berlaku pada pertengahan Oktober lepas di Temerloh, kebanyakannya di kawasan kampung yang kita tahu, majoriti penduduknya warga emas dan sistem imun mereka lemah … tambahan lagi jika ada menghidap penyakit lain seperti darah tinggi, jantung dan kencing manis.

“Dengan umur mereka, organ badan sudah tidak mampu berfungsi pada paras optima apatah lagi sekiranya ada komplikasi penyakit darah tinggi mahupun kencing manis. Namun, denggi ini sebenarnya bahaya untuk semua individu tambahan pula jika dapat spektrum yang teruk iaitu denggi berdarah,” katanya. 

Banjir di daerah Temerloh yang bermula pada 13 Okt lepas menyaksikan sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) diwujudkan bagi menempatkan 1,859 mangsa daripada 556 keluarga sebelum banjir pulih sepenuhnya pada Ahad lepas.  

Sebungan itu, gesaan kerja pembersihan dilakukan segera berasas memandangkan media sebelum ini melaporkan Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Rusdi Abdul Rahman dipetik berkata Pahang berada pada kedudukan kedua tertinggi di Malaysia merekodkan kes kematian akibat demam denggi setakat ini. 

Sebanyak 1,409 kes demam denggi dengan lima kematian setakat 28 Sept lepas akibat komplikasi demam denggi dalam kalangan individu berumur 40 hingga 65 tahun direkodkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dengan masing-masing satu kes di Bentong, Bera, Kuantan, Raub dan Rompin.

Dalam hal ini, Dr Rozita berkata masih ada lagi tidak menyedari risiko peningkatan penularan demam denggi selepas banjir surut berikutan ramai menganggap nyamuk Aedes yang membawa virus denggi DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4 hanya akan membiak pada air bersih bertakung.

“Memang benar, air banjir biasanya berlumpur dan nyamuk Aedes tidak membiak di kawasan kotor. Namun, jangan lupa dengan peningkatan curahan hujan ketika ini, boleh meningkatkan habitat populasi nyamuk berkenaan. 

“Cuaca kini agak tidak menentu dengan panas, hujan di beberapa tempat berikutan fasa peralihan Monsun Timur Laut, berisiko menyumbang pembiakan nyamuk Aedes. Bekas makanan, kulit rambutan juga boleh menjadi tempat takungan air hujan, sekali gus berlakunya pembiakan nyamuk Aedes,” katanya.

Temerloh buat masa ini, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini antara satu kawasan di Semenanjung yang mengalami cuaca panas tahap satu (berjaga-jaga) selain Larut, Matang dan Kuala Kangsar di Perak; Gombak dan Petaling di Selangor; Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Maran di Pahang.

Mengulas lanjut, Dr Rozita berkata hasil beberapa kajian sebelum ini juga membuktikan bekas makanan jenis polisterin antara bekas paling kerap dijumpai jentik-jentik dan apa yang dibimbangi hanya seminggu sahaja masa diambil untuk menjadi nyamuk dewasa.

“Tidak boleh lambat proses pembersihan kerana seekor nyamuk Aedes betina yang membawa virus denggi, mampu bertelur sehingga beratusan. Proses pembersihan ini juga, tidak boleh asalkan rumah saya bersih sudah cukup kerana ia memerlukan komitmen satu kawasan. 

“Ini kerana, seekor nyamuk Aedes mampu terbang hinga 200 meter jauh dan disebabkan itu apabila berlakunya kes denggi di sesuatu kawasan, petugas kesihatan akan melakukan ‘fogging’ dari rumah pesakit hingga 200 meter,” katanya. 

Namun begitu, beliau berkata masyarakat harus jelas dengan istilah ‘fogging’ ataupun semburan kabus yang hanya membunuh nyamuk dewasa tetapi tidak pada telur-telurnya dan disebabkan itu amat penting usaha pembersihan kawasan rumah dan sekitar dilakukan.

Kegusaran sama turut disuarakan Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Pahang Sharudin Hamid dan kerana itu pihaknya turut bekerjasama dengan pelbagai agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam pengurusan sisa banjir. 

“Kami memang berkolaborasi dengan pihak berkaitan untuk membantu mangsa banjir terutama di hadapan rumah supaya tidak terbiar lama kerana mereka terdedah dengan risiko dijangkiti demam denggi, penyakit bawaan air seperti tifoid, kolera, leptospirosis selain mengundang kemunculan haiwan liar. 

“Untuk sisa banjir kali ini di Temerloh, agak banyak juga memandangkan ramai yang tidak bersedia berikutan kebiasaannya, banjir di situ berlaku pada hujung November hingga Disember. Sisa paling banyak kali ini ialah perabot rumah seperti tilam dan peralatan elektrik,” katanya. 

Sebanyak 35.38 tan sisa pembersihan banjir dari Kampung Batu Kapor dan Kampung Sungai Buloh di Temerloh telah dibersihkan dan dibawa ke tapak pelupusan dan ketika ini kerja pembersihan sudah mencapai 70 peratus dan dijangka siap dalam masa dua hari lagi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan