AM

Karnival MBMMBI 2024 Pastikan Bahasa Melayu, Inggeris Gerak Seiring

24/10/2024 09:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Karnival Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) 2024 selama dua hari bermula hari ini dilaksanakan dengan konsep bahasa Melayu dan bahasa Inggeris bergerak seiring dan sejalan.

Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Dr Mohd Azam Ahmad berkata MBMMBI 2024 mencerminkan satu transformasi holistik dalam sistem pendidikan negara ke arah membina generasi yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata karnival itu berteraskan pengisian semarak MBMMBI berbentuk program interaktif dan aktiviti nilai tambah secara individu atau berkumpulan dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris yang dibudayakan pelaksanaannya di Kampus IPGM dan Pusat Pengajaran Bahasa Inggeris (ELTC).

Mohd Azam berkata pelaksanaan aktiviti tidak hanya menumpukan pengajaran dan pembelajaran bahasa di dalam kelas, tetapi juga pelaksanaan aktiviti koakademik seperti karnival, pameran dan pelbagai pertandingan berbentuk kebahasaan yang menjadi pemangkin peningkatan kemahiran berkomunikasi dan interpersonal.

“Penekanan Sahabat Bahasa menjadi teras pelaksanaan program MBMMBI. IPGM membudayakan konsep rakan bimbing rakan sebagai satu kaedah mengupayakan kecekapan berbahasa warga IPG khususnya pelajar. 

“Konsep Sahabat Bahasa ini, IPGM budayakan dan popularkan di Sekolah Pengajar bagi 27 Kampus IPGM seluruh Malaysia. Kaedah pelaksanaan adalah dengan memperkasakan aktiviti atau program bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dalam dan luar bilik darjah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan karnival berkenaan di IPG Kampus Bahasa Melayu di sini hari ini.

Mohd Azam berkata dasar MBMMBI dilaksanakan bukan sahaja bagi pelajar, tetapi juga untuk seluruh warga Malaysia bagi melahirkan lebih ramai generasi muda yang fasih kedua-dua bahasa itu.

Menerusi karnival itu, IPGM turut menyediakan permainan rakyat, permainan bahasa dan aktiviti kebahasaan yang lain dalam bentuk pameran dan pertandingan untuk pengunjung khususnya murid.

“Istimewanya karnival ini, IPGM sediakan aktiviti kebahasaan dari seluruh pelosok Malaysia. Menerusi karnival ini, kita tonjolkan juga budaya berbahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang betul walaupun daripada pelbagai etnik dan budaya memandangkan tema karnival ini ialah “Seni Berbahasa Wahana Perpaduan MADANI”,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan