AM

80 Barangan Segar Turun Harga Ketika Ringgit Mengukuh - KPDN

24/10/2024 09:22 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sebanyak 80 jenis barangan segar mencatatkan penurunan harga apabila nilai mata wang ringgit mengukuh pada tempoh penghujung Julai hingga September lepas, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Bagaimanapun, KPDN turut memaklumkan bahawa terdapat 72 barangan dalam kategori yang sama mengalami peningkatan harga dalam tempoh tersebut.

Kementerian itu menjelaskan antara barangan yang mengalami penurunan harga terendah adalah tomato (satu kilogram), manakala kenaikan harga tertinggi adalah kubis bunga (satu kg).

“Bagi kategori barangan lain seperti barangan kering, barangan berbungkus, barangan produk bayi, barangan kebersihan dan barangan minuman, harga adalah lebih stabil dengan kadar kenaikan dan penurunan harga purata kurang daripada 10 peratus,” demikian menurut KPDN dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang ingin tahu sebab harga barang naik kerana ringgit lemah, tetapi tidak turun selepas ringgit kembali kukuh serta tindakan KPDN untuk menurunkan harga barang selepas itu.

Menurut KPDN, perubahan harga barangan adalah lumrah bagi negara yang mengamalkan ekonomi pasaran terbuka seperti Malaysia, namun penting bagi memastikan harga barangan stabil dan tiada perubahan mendadak pada harga barangan.

Antara inisiatif dilaksanakan KPDN bagi memastikan kestabilan harga barangan adalah kawalan harga barangan bersubsidi, kawalan harga tanpa subsidi, skim harga maksimum musim perayaan (SHMMP) dan sistem kawalan diesel bersubsidi 2.0 (SKDS 2.0).

Sementara itu, menjawab soalan berasingan, KPDN memaklumkan tiada keperluan buat masa ini untuk mewujudkan rangkaian kedai serbaneka milik kerajaan yang berkonsepkan penjualan barangan keperluan asas dengan harga rahmah buat masa ini, 

Menurut KPDN, ketika ini kerajaan memberi lebih tumpuan kepada pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah MADANI menerusi Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM), Menu Rahmah, Pakej Rahmah dan Bakul Rahmah bagi mengimbangi impak kenaikan barangan dan mengurangkan tekanan kos sara hidup.

KPDN juga komited untuk meningkatkan pelaksanaan PJRM bagi membolehkan lebih ramai golongan kurang berkemampuan dapat menikmati harga barangan keperluan asas dengan harga rahmah.

“Sehingga 7 Okt 2024, KPDN melaksanakan PJRM yang menawarkan barangan keperluan asas dengan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah daripada harga pasaran di 7,965 lokasi di seluruh negara yang memberi manfaat kepada 7.04 juta orang,” menurut jawapan kementerian itu.

Penjelasan itu bagi menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang ingin tahu sama ada KPDN bercadang untuk mewujudkan rangkaian kedai serbaneka milik kerajaan yang berkonsepkan penjualan barangan keperluan asas dengan harga rahmah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan