AM

Persidangan MIH Megatrends 2024 Bermula Esok

24/10/2024 09:36 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 akan menghimpunkan pemimpin penjagaan kesihatan global, inovator dan pembuat dasar untuk meneroka penyelesaian serta teknologi terkini yang akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan.

Acara penjagaan kesihatan utama negara, yang bakal berlangsung mulai esok hingga 27 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, akan menampilkan perbincangan mendalam mengenai topik penjagaan kesihatan penting, seperti potensi transformasi kecerdasan buatan (AI) generatif dalam penjagaan kesihatan.

KPJ Healthcare dalam kenyataan memaklumkan topik lain yang akan dibincangkan termasuk masa depan pembiayaan kesihatan negara, kerjasama awam-swasta yang bertujuan untuk penjagaan kesihatan mampan, pelaksanaan model penjagaan berasaskan nilai dan evolusi perubatan jitu.

“Persidangan tiga hari ini membolehkan profesional perubatan, ahli teknologi dan jurutera memperoleh mata Pembangunan Profesional Berterusan (CPD) dan terbuka kepada semua profesional penjagaan kesihatan, pihak berkepentingan dan orang awam yang berminat untuk mempelajari inovasi penjagaan kesihatan terkini serta bertemu individu yang mempunyai fikiran sama dalam usaha membentuk masa depan penjagaan kesihatan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Acara ini dianjurkan Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama KPJ Healthcare dan rakan strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

KPJ Healthcare memaklumkan peserta akan mendapat manfaat daripada pandangan yang dikongsi oleh lebih 40 penceramah terkenal dunia, termasuk pakar seperti Dr Bertalan Mesko (Futuris Perubatan), Dr Luqman Lawal (Inovator AI dalam Penjagaan Kesihatan), Profesor Julia Rucklidge (Ahli Psikologi Klinikal), Profesor Jeffrey Braithwaite (Inovator Sistem Penjagaan Kesihatan) dan Dr Mohd Lutfi Fadil Lokman (Usahawan Kesihatan Digital).

Acara ini meliputi dua tingkat pameran - Life Sciences Frontier Floor dan Future Healthcare Frontier Floor.

Direka untuk segmen perniagaan-ke-perniagaan, pameran ini akan menampilkan pelbagai pempamer, penerangan ringkas atau pocket talk, sesi perkongsian oleh doktor dan pempengaruh kesihatan, serta demonstrasi produk dan pemeriksaan kesihatan percuma di samping konsultasi oleh KKM dan KPJ Healthcare.

Sementara itu, Future Healthcare Frontier Floor yang menyasarkan audiens perniagaan-ke-pengguna akan menampilkan pempamer dinamik, Studio MIH Live+ dengan penceramah jemputan mengujakan, pocket talk dan sesi Pemimpin Pendapat Utama (KOL).

KPJ Healthcare memaklumkan peserta juga boleh ke Zon Kanak-Kanak yang menawarkan pelbagai aktiviti termasuk penampilan istimewa Didi and Friends, kelas tanah liat, permainan deria dan taman permainan dalam bangunan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan