AM

Wartawan Perlu Punya Kredibiliti, Integriti Tinggi - Premier Sarawak

24/10/2024 09:40 PM

KUCHING, 24 Okt (Bernama) -- Wartawan perlu mempunyai kredibiliti serta integriti yang tinggi bagi memastikan kewartawanan dan media mendapat kepercayaan masyarakat, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Beliau berkata dalam dunia semakin berintegrasi, wartawan perlu memperkukuh profesion mereka dengan meningkatkan kualiti dan standard selain berpegang teguh dengan etika kewartawanan.

“Dalam bidang kewartawanan adalah penting untuk mempertahankan etika tertentu terutamanya ketika bertinteraksi dengan komuniti. Anda akan dihormati jika sentiasa berpegang teguh kepada etika kewartawanan. 

“Pada hemat saya jika anda mempunyai intergriti yang tinggi, anda akan mampu berdepan apa jua kemungkinan yang datang,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan Program Latihan Untuk Wartawan Sarawak anjuran Malaysian Press Institute (MPI) di sini hari ini.

Abang Johari berkata dunia kewartawanan sekarang menghadapi perubahan yang besar, daripada surat khabar beralih kepada penstriman melalui telefon bimbit, berita terkini boleh diperoleh setiap masa.

“Dulu tidak ada penstriman, sekarang ada penstriman rasmi dan tidak rasmi menerusi telefon bermakna ia tiada sempadan namun satu yang menarik mengenai penstriman langsung ialah mereka tahu apa yang anda bicarakan.

“Tiada orang yang boleh putar belit, jika ada yang cuba memutarbelitkan pun itu bergantung pada kebijaksanaan mereka. Jika mereka pandai memutarbelitkan maka persoalan integriti tidak ada, ini berbalik kepada isu etika,” katanya.

Sementara itu, Presiden MPI Datuk Yong Soo Heong berkata untuk membuat pelaporan lebih baik, keperluan pembelajaran berterusan dalam kalangan pengamal media dan pegawai komunikasi amat kritikal.

“Adalah menjadi harapan MPI bahawa kursus yang dikendalikan dapat diterjemahkan kepada kebolehan penceritaan dan penyampaian maklumat yang lebih jelas supaya perkembangan penting yang sedang berlaku di Sarawak lebih difahami dan diterima oleh rakyat serta para pelabur asing atau tempatan,” katanya.

Beliau berkata selain mengadakan latihan untuk pengamal media, MPI turut menganjurkan mini forum bersama para akademik dan pelajar di Universiti Malaysia Sarawak sebagai langkah permulaan institusi itu  untuk memperluas latihannya, selain menyediakan para graduan dengan dunia kewartawanan terkini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan