AM

Perbahasan Ruu Perbekalan 2025 Tumpuan Minggu Kedua Sidang Dewan Rakyat

25/10/2024 11:04 AM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2025 menjadi tumpuan utama pada minggu kedua persidangan Dewan Rakyat kali ini dengan pelbagai topik dan isu dibangkitkan wakil rakyat. 

Seramai 75 Ahli Parlimen daripada blok penyokong kerajaan, pembangkang dan Bebas selesai berbahas dengan masing-masing membangkitkan persoalan, mencari penyelesaian tuntas dan mencadangkan inisiatif baharu demi memastikan segala inisiatif dalam Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lepas memanfaatkan rakyat dan negara. 

Ketua Pembangkang Datuk Hamzah Zainuddin (PN-Larut) membuka tirai hari pertama sesi perbahasan dengan memberikan maklum balas positif terhadap beberapa inisiatif yang diumumkan dalam belanjawan terbesar dalam sejarah itu yang memperuntukkan RM421 bilion. 

Antaranya cadangan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 dan memberikan bantuan kepada peniaga yang akan menggunakan e-Invois dalam transaksi perniagaan masing-masing bermula Februari dan 1 Julai tahun depan. 

Dalam sesi perbahasan yang kebanyakannya berlarutan hingga 8 malam, rata-rata wakil rakyat juga membangkitkan mengenai isu seperti perang terhadap gula, pelaksanaan gaji minimum, serta subsidi bersasar bagi golongan tertinggi T15. 

Berhubung isu gaji minimum, majoriti Ahli Parlimen yang membangkitkan perkara itu menyokong usaha kerajaan namun turut menzahirkan kebimbangan langkah tersebut mungkin membebankan majikan selain mencetuskan kesan rantaian kos sara hidup seperti peningkatan harga barang atau caj perkhidmatan.

Hal ini dapat dilihat apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berpendapat kenaikan gaji minimum mestilah disokong dengan dasar serta tindakan kawalan harga yang jelas dan tindakan penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 perlu diperkasa bagi mengelakkan kenaikan tidak wajar. 

Beberapa Ahli Parlimen antaranya Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau), Wong Shu Qi (PH-Kluang) dan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) pula menyatakan sokongan terhadap langkah kerajaan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa sebanyak 40 sen seliter mulai 1 Jan tahun depan.

Isu takrifan sebenar golongan T15 turut disentuh kebanyakan wakil rakyat antaranya Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) yang mahu pengelasan sebenar diumumkan bagi menghentikan kebimbangan sebahagian rakyat yang ingin tahu sama ada mereka tergolong dalam kumpulan itu.

Menerusi sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pendekatan kerajaan untuk menamatkan kemiskinan tegar adalah tanpa mengira kaum dengan semua warganegara yang memerlukan bantuan akan disokong tanpa diskriminasi.

Turut disentuh Perdana Menteri ialah keputusan kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan termasuk syarikat berhad menurut jaminan (CLBG) bagi menangani pertindihan fungsi dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Walaupun perjalanan persidangan berjalan lancar dan tenang, pembangkang memohon penjelasan Dewan Rakyat mengenai tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul melarang Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung enam bulan daripada mengikuti persidangan itu dari galeri awam.

Corat-coret persidangan minggu ini juga menyaksikan beberapa Ahli Parlimen ditegur Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ramli Mohd Nor antaranya Mohd Hasnizan Harun (PN-Hulu Selangor) yang menjawab panggilan telefon ketika persidangan sedang berlangsung pada Rabu.

Semalam, Ramli turut bertindak menghentikan sementara sesi jawab lisan gara-gara dua Ahli Parlimen dilihat berbual ketika Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Munni Sabu sedang menjawab soalan mengenai program MyKiosk@KPKT yang dikemukakan.

Berdasarkan takwim menerusi laman rasmi Parlimen, Rang Undang-undang Perbekalan 2025 itu akan dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari bermula 21 Okt lepas sebelum sesi jawapan oleh menteri selama empat hari bermula 6 Nov.

Ahli Parlimen kemudian akan membahaskan rang undang-undang itu di peringkat jawatankuasa selama 12 hari bermula 13 Nov untuk diluluskan Dewan Rakyat.

Mesyuarat ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 berlangsung selama 35 hari bermula 14 Okt hingga 12 Dis ini.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan