AM

Karnival Deepavali Di Rangoli Walk Di Seremban Meriah

25/10/2024 06:40 PM

SEREMBAN, 25 Okt (Bernama) -- Karnival Deepavali di Rangoli Walk di Jalan Dato Lee Fong Yee di sini meriah dengan kehadiran pengunjung terutamanya penganut Hindu yang semakin sibuk membuat persiapan untuk meraikan pesta cahaya itu pada Khamis depan.

Berbeza pada tahun ini, kerajaan negeri melalui Majlis Bandaraya Seremban turut mengadakan Karnival Deepavali itu di Taman AST selama 10 hari bermula 21 Okt lepas.

Penasihat Karnival Deepavali peringkat negeri P. Gunasekaran berkata inisiatif itu bagi mengelakkan kesesakan dan memudahkan pengunjung untuk membuat persiapan perayaan kali ini.

"Sebanyak 210 peniaga terlibat pada karnival kali ini. Bagi keselesaan serta memudahkan pengunjung untuk datang ke dua lokasi berkenaan, dua bas percuma disediakan. Kita menyasarkan 50,000 pengunjung bagi karnival kali ini,” katanya kepada Bernama.

Gunasekaran berkata bas beroperasi secara bergilir ke lokasi laluan karnival di Taman AST dan Jalan Dato Lee Fong Yee dalam tempoh setiap 10 minit bagi memudahkan pengunjung, selain menjimatkan masa untuk mencari tempat letak kereta.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung daripada pelbagai latar belakang tidak melepaskan peluang hadir ke karnival itu bagi merasai suasana meriah dengan bermacam-macam jualan, seperti pakaian tradisional dan moden, kuih-muih, biskut raya dengan harga yang lebih berpatutan.

Lebih menarik lagi, karnival itu turut diserikan dengan lampu hiasan berwarna-warni dan rangoli atau kolam yang indah turut menghiasi gerai-gerai di sepanjang Rangoli Walk di Jalan Lee Fong Yee.

Pengunjung tidak hanya berpeluang membeli pakaian sari yang cantik, tetapi juga dapat mencuba pelbagai kuih tradisional seperti muruku, ladu, dan athirasam, dan terdapat beberapa gerai makanan menyajikan hidangan India yang enak seperti idli, pani puri dan nasi beriani.

Sementara itu, pengunjung Uma Vaisanavi, 23, berkata dia melakukan persiapan awal bagi perayaan kali ini kerana mahu mengelak daripada kesesakan sekiranya membeli-belah pada saat-saat akhir.

Jurujual kedai baju yang menetap di Rantau, Rembau itu berkata persiapan Deepavali tahun ini dibuat secara sederhana, namun tetap meriah, sama seperti tahun sebelumnya.

"Setiap tahun, saya dan mak akan duduk bersama-sama buat kuih tradisional seperti maruku, idli, dan kacang goreng, dengan cara ini kami bukan sahaja jimat kos, tetapi dapat memastikan kuih yang dibuat segar dan mengikut cita rasa sendiri," katanya.

Dalam pada itu, V. Letchume, 34, seorang peniaga kuih, berkata bersempena dengan perayaan kali ini, dia membuat sendiri kuih dan biskut raya untuk dijual pada karnival Deepavali berbanding sebelum ini yang mengambil bahan daripada pemborong.

 "Usaha ini bukan sahaja membantu menjimatkan kos, tetapi juga memberi peluang untuk saya menawarkan produk yang lebih segar dan berkualiti kepada pelanggan," katanya.

Bagi Lim Hua, 33, dia bersama rakan-rakannya telah datang ke karnival ini sebanyak dua kali khusus untuk menikmati makanan tradisional masyarakat India.

“Saya memang penggemar nasi beriani, dan di sini terdapat nasi beriani yang sangat lazat, selain itu harga jualan pada karnival ini juga lebih murah berbanding di kedai, jadi kami rasa ia lebih berbaloi," katanya yang menetap di Taman Permai, Seremban.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan