AM

Kerajaan Persekutuan Beri Sokongan Padu Jayakan Inisiatif Ekonomi Biru Sabah - Fahmi

25/10/2024 06:12 PM

PUTRAJAYA, 25 Okt (Bernama) -- Kerajaan persekutuan akan memberi kerjasama dan sokongan padu kepada inisiatif Ekonomi Biru yang sedang dilaksanakan Sabah bagi meneroka dan memanfaatkan sumber kekayaan laut di negeri itu, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata perkara berkenaan merupakan arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.

“Ini arahan Perdana Menteri kepada Jemaah Menteri untuk memberikan sokongan penuh kepada pembangunan ekonomi Sabah.

“Kerajaan harus memberi sokongan padu kepada usaha Sabah dengan memanfaatkan segala sumber yang ada, untuk bantu Sabah melaksanakan (inisiatif) konsep ‘Blue Economy’ ini. 

“Ia melibatkan hasil mahsul laut, bukan sahaja dari segi perikanan tetapi sumber mineral sebagai sumber yang berpotensi, sebagai tenaga boleh baharu,” katanya dalam sedang akhbar selepas mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Pada pada 19 Okt lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan merasmikan Persidangan Antarabangsa Ekonomi Biru Sabah (SIBEC) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, Kota Kinabalu.

 SIBEC 2024 diadakan bertujuan mempromosikan pembangunan ekonomi berasaskan sumber laut di Sabah, dengan fokus kepada sektor perikanan, tenaga boleh diperbaharu dan pelancongan marin.

Persidangan itu juga berfungsi sebagai platform untuk memperkenalkan teknologi baharu dan menarik pelaburan melalui pameran dan sesi interaktif.

Katua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dalam ucapannya pada persidangan itu berkata, peluang pelaburan dalam Ekonomi Biru di Sabah amat besar dengan anggaran potensi hasil tahunan ikan dan udang sahaja adalah lebih daripada 491,000 tan yang bernilai RM3.25 bilion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan