DUNIA

Mekanisme BRICS Yang Kondusif Dorong Kerjasama Negara Membangun, Kata Ahli Ekonomi PBB

25/10/2024 08:05 PM

GENEVA, 25 Okt (Bernama-Xinhua) -- Mekanisme BRICS memainkan peranan penting dalam menggalakkan kerjasama antara negara membangun dan pasaran baharu muncul di tengah-tengah pergolakan geopolitik global, kata seorang ahli ekonomi kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lapor Xinhua.

Negara BRICS telah menjadi kuasa penting dalam landskap ekonomi dunia, dan pengalaman pembangunan mereka patut dijadikan teladan bagi negara Selatan Global, kata Liang Guoyong, ahli ekonomi kanan di Persidangan Perdagangan dan Pembangunan PBB, dalam wawancara bertulis dengan Xinhua.

Kerjasama dalam pelbagai bidang antara negara BRICS terus mendalam, dan pertukaran ekonomi serta perdagangan antara negara BRICS dan negara membangun lain juga semakin berkembang, tambah Liang. Peningkatan dalam perdagangan antarabangsa, pelaburan, serta pertukaran sains dan teknologi menyediakan peluang penting untuk pembangunan ekonomi semua pihak yang terlibat.

Beliau berkata mekanisme kerjasama antara negara BRICS melangkaui wilayah tertentu dan menjadi mekanisme teras kerjasama dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun, memainkan peranan positif dalam membina sistem ekonomi dan perdagangan global yang lebih inklusif.

Pada masa depan, kerjasama dalam kalangan negara BRICS bagi bidang baharu seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan, pembayaran rentas sempadan dan logistik akan membolehkan mekanisme itu memainkan peranan yang lebih besar dalam mempromosikan kerjasama ekonomi dan perdagangan antarabangsa, katanya.

Daya tarikan mekanisme BRICS terletak pada pengaruh yang semakin meluas daripada ahlinya dalam sistem politik dan ekonomi global, di samping menyediakan cara berkesan untuk memperkukuh pertukaran ekonomi dan perdagangan serta mempromosikan pembangunan ekonomi, katanya.

Liang percaya bahawa dalam situasi semasa, untuk mempromosikan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara membangun serta memperluas peluang pembangunan, adalah perlu untuk memanfaatkan sepenuhnya mekanisme kerjasama antarabangsa di semua peringkat, terutamanya BRICS.

Beliau juga menjelaskan bahawa sebab utama mengapa kerjasama Selatan-Selatan kembali menjadi tumpuan perhatian global dalam beberapa tahun kebelakangan ini adalah kekuatan yang semakin meningkat dalam kalangan negara Selatan Global, menyaksikan perdagangan Selatan-Selatan kini menyumbang hampir 40 peratus daripada perdagangan global.

Selain itu, kerjasama Selatan-Selatan telah menjadi pemacu utama bagi negara membangun untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pelaburan serta pembinaan infrastruktur dan negara BRICS, termasuk China, memainkan peranan penting dalam hal ini, tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa China telah menjadi negara perdagangan terbesar di dunia serta pengeksport terbesar dan pengimport kedua terbesar dalam perdagangan barangan, dan peningkatan importnya telah menyediakan dorongan penting bagi pertumbuhan ekonomi negara membangun lain.

Pada masa yang sama, sebagai satu daripada pelabur asing terbesar di dunia, China menyediakan sokongan penting untuk perindustrian dan kepelbagaian ekonomi negara berpendapatan rendah, kata Liang.

Sepanjang dekad lalu, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dicadangkan oleh China serta penubuhan institusi pembiayaan seperti Bank Pelaburan Infrastruktur Asia dan Bank Pembangunan Baharu berjaya mempromosikan kerjasama ekonomi dan perdagangan antara negara membangun, katanya.

Melihat ke hadapan, ahli ekonomi itu berkata China akan terus memainkan peranan penting dalam menggalakkan proses globalisasi, merangsang pertumbuhan ekonomi dunia dan memudahkan pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan