AM

Lebih 5,000 Bakal Graduan Terima Ijazah, Diploma Pada Konvokesyen UMPSA Ke -19

25/10/2024 08:54 PM

KUANTAN, 25 Okt (Bernama) -- Seramai 5,115 bakal graduan akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke-19, yang berlangsung selama tiga hari bermula esok di Dewan Kompleks Sukan Universiti UMPSA, Gambang di sini.

Naib Canselor UMPSA Prof Datuk Dr Yuserrie Zainudin berkata daripada jumlah itu, 83 orang merupakan graduan doktor falsafah (PhD), sarjana (180), sarjana muda (2,538), ijazah dual (64), diploma (533) dan 1,717 graduan program pembelajaran sepanjang hayat UMPSA Advanced.

Beliau berkata Tuanku Pro-Canselor UMPSA Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, akan berangkat menyempurnakan istiadat permasyhuran konvokesyen berkenaan.

“Baginda turut akan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Seri Dr Daing Nasir Ibrahim yang merupakan penganugerahan tertinggi akademik atas pelbagai sumbangan beliau kepada universiti dan pendidikan tinggi negara.

“Pada majlis konvokesyen kali ini, buat pertama kalinya UMPSA dan Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU), Kazakhstan akan menganugerahkan Ijazah Dual kepada tiga graduan,” katanya dalam sidang media memperkenalkan penerima anugerah di UMPSA Gambang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Yuserrie memaklumkan UMPSA telah melahirkan 48,378 siswazah dalam pelbagai bidang pengajian di peringkat prasiswazah dan pascasiswazah, sejak majlis konvokesyen pertama pada 2006 dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 97.3 peratus.

Sementara itu, penerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) Fatini Nasuha Ahmad Puad, 23, berkata bagi mengekalkan momentum mahasiswa cemerlang, beliau perlu bijak mengenal pasti keutamaan khususnya membahagikan masa antara pelajaran dan aktiviti kesukarelaan.

Fatini Nasuha yang merupakan penerima Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Farmaseutikal) dengan Kepujian daripada Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP) berkata dibesarkan dalam keluarga yang sederhana turut memberi motivasi untuk lebih cemerlang.

“Ayah saya bekerja sebagai polis bantuan, mak saya pula seorang suri rumah. Mereka juga sudah berusia dan inilah yang membuatkan saya ingin belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah kehidupan keluarga,” kata anak bongsu daripada tiga beradik itu yang berasal dari Shah Alam.

Beliau yang memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.88 itu berhasrat untuk menyambung pelajaran di peringkat PhD, bagi memenuhi cita-citanya menjadi pensyarah suatu hari nanti.

Seorang lagi penerima Anugerah Pelajaran Diraja Choong Wai Kit, 24, berkata ibu dan kakak menjadi sumber motivasinya untuk belajar bersungguh-sungguh, bagi membalas jasa mereka yang membesarkannya selepas kematian bapa.

“Ibu saya bekerja sebagai tukang jahit dan dia tetap bersemangat membesarkan saya dan kakak secara seorang diri setelah ayah tiada.

“Kakak juga menjadi inspirasi saya kerana dia banyak menanggung perbelanjaan ketika saya menjalani latihan industri di Shah Alam,” katanya yang merupakan graduan Sarjana Muda (Kepujian) FTKKP dengan PNGK 3.92.

Selain cemerlang dalam akademik, Choong yang berasal dari Ipoh turut aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk debat sehingga pernah menjadi pendebat kedua terbaik keseluruhan dan naib johan kumpulan pada Pertandingan Debat Universiti Peringkat Kebangsaan - Piala Hou Xue edisi pertama.

Majlis Konvokesyen Ke-19 UMPSA yang bermula esok dan bersambung pada Ahad dan Selasa depan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan