JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tumpas Sindiket Seludup Lembu Di Kelantan

26/10/2024 12:17 PM

KOTA BHARU, 26 Okt (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara menumpaskan sindiket penyeludupan 16 ekor lembu dianggarkan bernilai RM156,000 selepas menahan sebuah lori di Jalan Kasban dekat Jeram Perdah, Pasir Mas semalam.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kesemua lembu seberat 10,400 kilogram itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui pengkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata lori yang dipandu seorang lelaki berusia 38 tahun itu ditahan pada 9.30 pagi selepas dilihat agak mencurigakan ketika anggota Batalion 8 membuat rondaan Op Taring Wawasan. 

“Hasil pemeriksaan di belakang lori menemukan 16 ekor lembu dan pemandu gagal menunjukkan dokumen berkaitan ternakan yang dibawa dan disyaki dia menjadi penghantar haiwan itu untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, kesemua rampasan diserahkan kepada Komtak Jeram Perdah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

Sementara itu, polis menahan seorang suspek lelaki berumur 29 tahun yang menaiki kereta pacuan empat roda di Sekat Pintas Pos Simpangan dekat Tumpat kira-kira 5 petang semalam kerana disyaki menyeludup 307 liter petrol dianggarkan bernilai RM30,000.

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan mendapati ada tangki tambahan berisi lebih 300 liter petrol disyaki untuk diseludup ke Thailand dan kesemua rampasan diserahkan ke Komtak PGA Pengkalan Kubor bagi  tindakan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan