AM

RM156,000 Kompaun Kenderaan Diesel, Lepas Asap Hitam Berlebihan Setakat September - JASNS

26/10/2024 03:05 PM

SEREMBAN, 26 Okt (Bernama) -- Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JASNS) mengeluarkan 78 kompaun bernilai RM156,000 kepada pemilik kenderaan enjin diesel atas kesalahan pelepasan asap hitam berlebihan bagi Januari hingga September lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan berkata JASNS menjalankan 31 operasi bersepadu bersama agensi penguat kuasa lain tahun ini.

“JASNS sentiasa menjalankan rondaan bagi mengesan kenderaan diesel yang mengeluarkan asap hitam berlebihan, dan pemilik kenderaan diarahkan membuat ujian di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sehingga lulus iaitu mencapai bacaan bawah 50 unit asap Hartridge (HSU),” katanya kepada pemberita hari ini.

Turut hadir Pengarah JAS negeri Hamzah Mohamad dan Pengurus Wilayah Tengah PLUS Hot Hamzah pada program Sambutan Hari Ozon Sedunia 2024 peringkat negeri dan Penangguhan Operasi Bersepadu Kenderaan Bermotor di Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) di Lebuhraya Utara-Selatan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Veerapan berkata JASNS telah mengarahkan pemilik tanah melakukan kerja pembersihan tanah berhubung kes pembuangan haram sisa kimia dipercayai sisa cat dan minyak di kawasan Bukit Pelanduk, Port Dickson baru-baru ini.

Veerapan berkata siasatan masih diteruskan bagi mengesan pelaku yang perlu bertanggungjawab atas pembuangan lebih kurang 100 tong berkapasiti 210 liter cat terpakai dan 50 tangki IBC berkapasiti 1,000 liter mengandungi minyak di kawasan berkenaan.

Beliau turut menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik terutama di kawasan terselindung bagi mengekang perbuatan pembuangan sampah secara haram.

Veerapan berkata sebanyak sembilan sampel tambahan diambil bagi proses bacaan Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan kertas siasatan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan dibuka dan tindakan lanjut dilakukan setelah memperoleh keputusan analisis itu. 

Dalam pada itu Hamzah menjelaskan pemilik tanah setuju melakukan pembersihan pencemaran berkenaan namun jumlah kos terlibat masih dalam perbincangan.

“Pada dasarnya pemilik tanah tidak mengetahui tentang pembuangan di tanah itu namun kes masih dalam siasatan," katanya menambah pembuangan tidak bertanggungjawab itu dilakukan sekitar tiga bulan di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan