AM

Anwar Anjur Jamuan Makan Tengah Hari Meraikan Perdana Menteri Ethiopia

26/10/2024 03:20 PM

PUTRAJAYA, 26 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan rakan sejawatnya dari Ethiopia Dr. Abiy Ahmed Ali dalam satu majlis makan tengah hari di Seri Perdana, di sini.

Abiy, yang sedang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri sekitar pukul 10 pagi.

Selain delegasi Ethiopia, jamuan makan tengah hari itu turut dihadiri oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapha Sakmud, dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Terdahulu, Anwar dan Abiy mengadakan pertemuan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Ethiopia merupakan rakan dagang terbesar Malaysia ke-26 di benua Afrika pada tahun 2023, dengan imbangan dagang yang memihak kepada Malaysia.

Dagangan antara Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, di mana eksport Malaysia ke Ethiopia berjumlah RM358.6 juta, meningkat sebanyak 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Eksport Malaysia ke Ethiopia merangkumi produk elektrik dan elektronik; minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit; bahan kimia dan produk berasaskan kimia; serta tekstil, pakaian, dan kasut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan