AM

'AI 4 Belia' Perkasa Penggunaan AI Dalam Kalangan Anak Muda - Chang

26/10/2024 11:46 PM

TANJUNG MALIM, 26 Okt (Bernama) -- Program ‘AI 4 Belia’ anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertujuan memperkasakan golongan berkenaan dengan kemahiran teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam menghadapi cabaran pasaran pekerjaan masa hadapan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata program julung kali itu adalah inisiatif MOSTI untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

“Penyertaan aktif belia dalam inisiatif sebegini (AI 4 Belia) langkah penting dalam mempersiapkan diri mereka menghadapi cabaran masa hadapan terutama dalam sektor pekerjaan berteknologi tinggi,” katanya berucap pada majlis perasmian program ‘AI 4 Belia’ di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini hari ini.

Beliau berkata Tanjung Malim merupakan stesen pertama program itu dan sambutan dilihat memberangsangkan dengan penglibatan 100 peserta dalam program kerjasama bersama UPSI dan Syarikat Pixlr itu.

“Belia merupakan pelapis dalam membangunkan Malaysia pada masa akan datang, yang juga perintis kepada pekerjaan masa hadapan dalam bidang seperti kejuruteraan kecerdasan buatan, robotik, anggota keselamatan maya, teknologi rantaian blok dan sebagainya.

“Selain itu, penggunaan AI dilihat dapat membantu belia yang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan inovasi atau teknousahawan kerana AI membantu belia yang terlibat dalam perniagaan untuk menganalisis data, merancang pemasaran produk dan mengoptimumkan operasi dengan sumber sedia ada,” katanya.

Chang berkata pihaknya percaya dengan meningkatkan pengetahuan dan kesedaran belia mengenai AI secara berperingkat, generasi muda Malaysia akan lebih bersedia mendepani cabaran teknologi masa hadapan.

“Hasilnya, belia kita bukan sahaja akan menjadi pengguna AI yang bijak, tetapi juga peneraju dalam mencipta inovasi yang memanfaatkan kemajuan teknologi ini untuk pembangunan negara.

“Ini adalah seiring dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pembangun teknologi utama menjelang 2030,” katanya.

Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UPSI yang diwakili Dekan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim dengan Syarikat Pixlr diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya Warren Leow.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan