EKONOMI

Kepengerusian ASEAN: Malaysia Boleh Majukan Inisiatif Karbon Di Rantau Ini

26/10/2024 03:40 PM

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia memberikan peluang terbaik untuk memajukan dagangan karbon dan kredit karbon dalam kalangan negara anggotanya, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata Malaysia juga boleh memanfaatkan acara Sidang Kemuncak ASEAN 2025 untuk menyelesaikan sistem dagangan pelepasan karbon (ETS).

“Pada masa ini, tiada sistem dagangan karbon yang formal di rantau ini, kita hanya beroperasi dalam pasaran karbon sukarela atas dasar pembeli dan penjual sama-sama rela, yang membawa kepada harga yang agak rendah.

“Dagangan pematuhan alternatif memerlukan ETS, yang tiada di ASEAN, tidak seperti wilayah dan negara seperti Eropah, Kanada, Amerika Syarikat, Australia, New Zealand dan Korea Selatan,” katanya ketika menjawab soalan peserta di Forum Ekonomi Belia 2024 di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata Premier Sarawak juga menekankan kepentingan mencadangkan ETS ASEAN pada sidang kemuncak tahun depan.

“Baru-baru ini, pasukan kami bertemu dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Kuching. Jika dilaksanakan, ETS akan memberikan manfaat kepada negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Vietnam dan Laos, yang sedang giat mencapai penyelesaian berasaskan semula jadi,” katanya.

Hazland berkata Sarawak telah membangunkan sistem sisa kepada tenaga (WTE), menawarkan cara untuk menghasilkan tenaga dan menjana aliran hasil baharu daripada sisa.

“Sarawak juga menetapkan dasar WTE, mengkategorikan sisa (seperti plastik dan sisa isi rumah) kepada sisa perbandaran, pertanian, perindustrian, bahan lengai dan elektronik. Ini bukan sahaja mencipta hasil malah juga membuka peluang pekerjaan baharu.

“Teknologi ini mudah, dengan tenaga dijana daripada pembakaran. Menerusi bantuan kecerdasan buatan, bahan seperti keluli, simen, dan batu boleh diasingkan secara automatik, meninggalkan sisa untuk diproses menjadi wap bagi mengerakkan turbin dan menghasilkan tenaga elektrik,” katanya.

Mengenai peluang ekonomi luar bandar, Hazland berkata Sarawak sedang membangunkan perladangan mikroalga, khususnya di kawasan luar bandar, untuk projek bahan api penerbangan (SAF) yang lestari.

“Mikroalga berganda setiap tiga hari, mewujudkan aliran hasil yang berterusan dan menyokong pengeluaran minyak keseluruhan Malaysia.

“Rantaian nilai daripada pengeluaran SAF akan memberikan manfaat kepada masyarakat luar bandar dan industri yang lebih luas memandangkan syarat antarabangsa untuk SAF, yang kini ditetapkan pada satu peratus dijangka meningkat kepada 50 peratus,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan